Berdakwah Dalam Medan Kewangan Islam
Islam adalah satu-satunya agama yang syumul meliputi segenap aspek
kehidupan manusia. Kehebatan Islam sebagai suatu cara hidup manusia
berbanding ajaran agama-agama lain boleh dilihat melalui perjalanan
hidup sirah Nabi Muhammad SAW sebagai suri tauladan ummah. Sirah
Rasullullah SAW kerapkali menceritakan bagaimana Baginda berdakwah
melalui akhlak ketika bermuamalat atau berniaga. Kesyumulan Islam boleh
dilihat melalui perkembangan industri kewangan Islam pada masa kini.
Berkembangnya industri kewangan Islam secara tidak langsung membuka
lembaran medan dakwah yang terbaharu. Umat Islam seharusnya mengambil
peluang ini menyampaikan mesej-mesej dakwahmempromosikan kewangan Islam
sebagai suatu agenda transformasi kepada suatu sistem muamalat yang
diredhai Allah SWT.
Peluang dakwah dalam kewangan Islam
Tidak dinafikan bahawa kejayaan yang dikecapi melalui kemajuan
industri kewangan Islam telah menarik minat pakar-pakar ekonomi dan
kewangan dunia mendekati Islam. Tidak hairan juga terdapat beberapa
Paderi Kristian di Vatican yang turut bersetuju dan berani menyatakan
bahawa Kewangan Islam sebagai penyelesaian kepada krisis ekonomi dunia.
Kejadian-kejadian ini secara tidak langsung menjelaskan kepada manusia
bahawa sehebat mana pun sistem ciptaan akal manusia yang dangkal, tidak
boleh menandingi sistem ekonomi yang diformulakan oleh Allah SWT sejak
zaman Nabi Muhammad SAW lagi. Persoalannya adakah manusia menyedari
bahawa ini petanda ciptaan Allah SWT?
Allah SWT menjelaskan dalam surah al-An’aam, ayat 46, maksudnya: Katakanlah
(Wahai Muhammad): "Bagaimana fikiran kamu, jika Allah melenyapkan
pendengaran serta penglihatan kamu, dan ia pula memeteraikan atas hati
kamu? siapakah Tuhan selain Allah Yang berkuasa mengembalikannya kepada
kamu?" lihatlah Bagaimana Kami berulang-ulang menerangkan tanda-tanda
kebesaran Kami (dengan berbagai cara), Dalam pada itu, mereka tetap juga
berpaling - ingkar.
Di sinilah letaknya beban tugas para daie untuk menjelaskan lagi
ciptaan-ciptaan Allah melalui sistem muamalat Islam kepada umat manusia.
Sekiranya kita amati sistem muamalat Islam ini, kita mendapati beberapa
prinsip-prinsip nilai yang menjadi gagasan tunjang kepada sistem
ekonomi Islam. Antara prinsip-prinsipnya ialah:
- Prinsip kebebasan iaitu kebebasan menggerakkan sistem ekonomi mengikut acuan Allah SWT
- Prinsip keadilan iaitu memelihara hak-hak individu yang berkontrak atau berniaga agar tidak berlaku kezaliman
- Prinsip ihsan iaitu jujur dan berasa bertanggungjawab setiap akad atau kontrak yang dilakukan diperhatikan oleh Allah SWT
Sistem ekonomi rekaan manusia yang bertuhankan nafsu seperti
Kapitalisme, Sosialisme, Komunisme dan Fasisme tidak mengutamakan
prinsip-prinsip ini. Seharusnya para daie boleh berkongsi nilai-nilai
muamalat Islam ini sesama manusia lain dan diterjemahkan melalui cara
perniagaan dan pergaulan. Inilah salah satu cara dakwah bil hal yang ditunjukan oleh Rasullullah SAW ketika Baginda menjalankan perniagaan di Syam sebelum Baginda dilantik menjadi Rasul.
Kewujudan institusi-institusi kewangan Islam di Malaysia boleh dijadikan stimulus galakan
umat Islam beribadah kepada Allah dengan menjemput mereka membuka
akaun-akaun di institusi kewangan Islam. Sekurang-kurangnya tindakan ini
secara tidak langsung memberi mesej kepada institusi kewangan
konvensional bahawa sistem ini tidak relevan lagi diamalkan di bumi umat
Islam. Kejatuhan beberapa syarikat gergasi di AS seperti Lehman
Brothers, AIA dan sebagainya cukup membuktikan betapa hinanya sistem
ekonomi berteraskan riba.
Mutakhir ini, pakar-pakar kewangan bukan Islam mula mengkaji kebaikan
sistem kewangan Islam. Tidak hairan juga terdapat di kalangan mereka
yang boleh menjelaskan kontrak-kontrak muamalat Islam seperti
Mudharabah, Musyarakah, Wadiah, Wakalah, Kafalah dan sebagainya dengan
baik sekali. Hal ini kerana mereka meyakini dengan kelebihan kewangan
Islam yang mampu mengatasi segala permasalahan ekonomi dunia.
Meskipun ilmu muamalat ini terbuka dan tidak menghalang golongan bukan
Islam bercakap mengenainya, namun begitu sayangnya sekiranya ilmu ini
tidak dikuasai sepenuhnya oleh umat Islam sendiri. Di sinilah juga
letaknya peranan daie agar bertanggungjawab mendalami ilmu-ilmu
muamalat. Menyampaikan ilmu kerana keimanan adalah tidak sama nilainya
dengan menyampaikan ilmu kerana untuk memberi kefahaman semata-mata. Di
samping itu, tanggungjawab untuk menuntut dan menyampaikan ilmu muamalat
juga menjadi semakin mustahak apabila Saidina Umar pernah suatu ketika
memberi amaran kepada peniaga sebagaimana berikut:
لا بيع فى سوقنا إلا من قد تفقه فى الدين
Maksudnya:
Jangan kamu berjual beli di pasar kami kecuali telah mendalami ilmu/hukum agama tentangnya.
(Riwayat Tirmidzi)
Cabaran daie dalam kewangan Islam
Krisis ekonomi yang melanda pada tahun 1998 dan 1999 turut memberi
kesan kepada mereka yang menjadi pelanggan produk riba di institusi
konvensional. Ketidakmampuan pelanggan untuk membayar hutang bulanan
bukanlah menjadi asas utama untuk institusi konvensional ini berlembut
hati meringankan beban hutang pelanggan ketika itu. Kadar faedah
berpandukan Based Lending Rate (BLR) terus naik tanpa belas
ehsan. Bahkan pihak pelanggan terus diberi tekanan dan ugutan lelongan
aset mereka sekiranya hutang mereka tidak dapat dilunaskan.
Meskipun kejadian ini benar-benar berlaku, ironinya masyarakat
khususnya umat Islam pada masa kini masih lagi merasa ‘sedap’ dan
mudahnya transaksi Riba di bank-bank konvensional. Ulama’-ulama’ Islam
melalui Persidangan Akademi Fiqh OIC mahupun Muzakarah Jawatankuasa
Fatwa Kebangsaan turut melarang keras amalan riba, namun begitu terdapat
segelintir umat Islam tidak mengendahkannya. Ada juga
pandangan-pandangan nakal yang sinonimkan Riba dengan amalan jual beli.
Benarlah firman Allah SWT dalam al-Qur’an bahawa adanya golongan yang
menyamai riba dengan jual beli sepertimana Allah jelaskan dalam surah
al-Baqarah, ayat 275, mafhumnya: Orang-orang yang memakan
(mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti
berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana
sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka
mengatakan: "bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba".
Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan
mengharamkan riba.
Jumlah bilangan institusi kewangan Islam yang wujud di Malaysia pada
masa kini amat membanggakan. Kewujudan institusi-institusi ini mampu
memberikan suatu perubahan paradigma kepada umat Islam bahawa memilih
perbankan dan kewangan Islam bukanlah suatu pilihan tetapi kewajipan.
Namun begitu, apa yang membimbangkan ialah ada di kalangan institusi ini
yang tidak serius dan hanya memikirkan kewangan Islam tidak lebih hanya
sekadar memenuhi permintaan pasaran sahaja. Akhirnya nama kewangan
Islam ini menjadi suatu fitnah untuk mendapatkan pengesahan halal
sahaja.
Di samping itu, terdapat juga isu-isu operasi muamalat Islam yang
masih tidak mencapai kesepakatan dikalangan ulama’-ulama’ antarabangsa.
Secara tidak langsung, perkara ini akan memberi stigma negatif khususnya
kepada umat Islam yang tidak memahami disiplin keilmuan fiqh. Pandangan
ini seharusnya diperbetulkan supaya ulama’ fiqh dan penasihat Syariah
tidak menjadi bahan tohmahan masyarakat yang tidak memahami bahawa
percanggahan pendapat dalam ilmu fiqh adalah suatu keterbukaan dan
rahmat.
Isu-isu ini menjadi suatu cabaran kepada para daie untuk menyatakan
hakikat sebenar muamalat Islam di mata masyarakat. Pastinya ada
suara-suara sumbang yang akan menjadikan contoh-contoh negatif ini
sebagai dalil bertujuan menghina kaedah muamalat dan kewangan Islam yang
murni ini. Wujudnya isu-isu ini bukanlah melemahkan para daie
menyampaikan risalah Allah melalui muamalat Islam, tetapi hikmahnya
memberi kekuatan pengukuhan ekonomi Islam untuk berdiri teguh dalam
sistem ekonomi semasa.
Kesimpulannya, menyampaikan mesej dakwah dengan mempromosikan muamalat
Islam merupakan suatu medan dakwah yang baharu. Persediaan menimba ilmu
di kalangan para daie amatlah perlu agar segala hujah yang disampaikan
mampu mencairkan hati-hati individu yang telah keras mengagumi sistem
konvensional. Semoga cita-cita membangunkan suatu ekonomi yang
sepenuhnya bertunjangkan Islam akan tercapai.