Kepentingan dan Peringkat Awal Perancangan Kewangan

Perancangan kewangan adalah satu proses berterusan yang membantu kita di dalam menguruskan kewangan dengan membuat keputusan bijak bagi mencapai matlamat kewangan yang kita idamkan. Jelas sekali setiap individu ingin memastikan faktor kewangan bukan menjadi masalah utama dalam kehidupan di samping tidak juga meninggalkan beban kepada orang tersayang apabila ketiadaan kita kelak.

Perancangan kewangan sangat berkait rapat dengan putaran kehidupan seseorang bermula daripada peringkat awal kehidupan iaitu pada zaman kanak-kanak dan remaja, seterusnya zaman ketika mula bekerjaya serta membuat tabungan, zaman mula berkeluarga dan mempunyai anak serta pada zaman persaraan menurut Cambridge Connection.Inc., pakar perancangan kewangan yang beroperasi di Amerika Syarikat.
Perancangan kewangan perlu dititik beratkan dan dipandang serius kerana jelas dapat dilihat dalam laporan Malaysia Human Development 2013 sebanyak 53 peratus isi rumah penduduk Malaysia tidak mempunyai sebarang aset kewangan yang mampu menyediakan mereka untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku sebarang musibah. Isi rumah luar bandar merupakan golongan tertinggi yang tidak mempunyai aset kewangan iaitu sebanyak 63 peratus manakala bagi penduduk bandar pula adalah sebanyak 45 peratus. Kesannya tetap sama, mereka tidak bersedia menghadapi kehilangan punca pendapatan atau tiada tabungan yang mampu menampung bebanan yang bakal berlaku kerana tiadanya persediaan sewajarnya untuk menghadapi sebarang kemungkinan atau musibah.

Perkara sebegini berlaku kerana perancangan kewangan kurang diberi perhatian sedangkan ianya sangat penting. Perancangan kewangan boleh bermula dengan mengenal pasti tahap matlamat kewangan yang ingin kita capai, jumlah aset dan liabiliti sedia ada, keadaan kewangan semasa, merangka perancangan dan pelaksanaan serta seterusnya menilai keberkesanan dan membuat pelarasan sekiranya dirasakan perlu. Ini semua amat penting bagi memastikan matlamat perancangan kewangan kita dapat dicapai sepenuhnya.

Tiga aspek penting yang perlu diambil kira dalam perancangan kewangan masa depan adalah merangkumi perkara yang boleh dirancang seperti perancangan pendidikan, simpanan peribadi, persaraan, perumahan, pengurusan hutang, perubatan, perancangan pusaka dan perlindungan insurans atau takaful. Aspek kedua merangkumi perkara yang di luar kawalan dan yang akan mengakibatkan hilangnya punca pendapatan kepada keluarga anda iaitu kematian, kecacatan, hilang upaya kekal atau menghidap penyakit kronik. Seterusnya yang terakhir adalah peluang-peluang pelaburan yang mampu menambahkan tabungan atau harta seperti pelaburan kewangan dan aset.

Pada artikel kali ini kita akan menyentuh kepentingan perancangan kewangan khusus pada peringkat awal kehidupan iaitu pada zaman kanak-kanak dan remaja di samping pelan-pelan perlindungan yang bersesuaian untuk mereka. Dua artikel seterusnya, bakal menyentuh kepentingan perancangan kewangan untuk peringkat golongan muda yang mula bekerjaya dan memulakan tabungan, seterusnya zaman mula berkeluarga dan mempunyai anak serta mula membuat pelaburan diikuti dengan zaman persaraan.

Perancangan kewangan untuk peringkat awal kehidupan iaitu zaman kanak-kanak dan remaja, melibatkan dua faktor perancangan utama ini iaitu pelaburan untuk tujuan simpanan bagi menyediakan dana pendidikan yang mencukupi dan perlindungan asas termasuk perancangan perubatan. Perancangan kewangan ini bermula dengan merangka keperluan kewangan semasa dan akan datang untuk tujuan pendidikan. Kos pendidikan semasa dianggarkan sebanyak RM91,800 untuk setiap anak dan kos pendidikan ini dijangka meningkat sehingga RM156,283 bagi 15 tahun akan datang dengan jangkaan kadar inflasi sebanyak 3 peratus.

Setiap ibu bapa perlu menabung sebanyak RM3,500 sehingga RM5,000 setahun secara berterusan bagi setiap orang anak untuk membolehkan anak mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di dalam negara. Manakala bagi melanjutkan pelajaran ke luar negara pula seperti Australia contohnya, memerlukan tabungan sebanyak RM11,000 sehingga RM16,000 setahun*. (*Sumber: CTLA Financial Planners Sdn. Bhd., pakar kewangan dan pelaburan tempatan.)

Perancangan kewangan simpanan peribadi semasa dan akan datang serta perlindungan perubatan dan keperluan di luar jangkaan. Ke semua perlindungan tersebut boleh dilakukan melalui pemilikan pelan-pelan perlindungan yang bersesuaian.

Jelas dapat dilihat bahawa caj perubatan swasta meningkat sebanyak 14.4 peratus seperti yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan. Situasi ini telah mengakibatkan kadar keseluruhan kos perubatan boleh menjangkau sehingga 200 peratus seperti yang dilaporkan dalam akhbar The Star pada Mac lalu. Perancangan kewangan yang berkesan perlu mempunyai pemilikan pelan perlindungan perubatan yang mampu menanggung kos perubatan serta perlindungan asas jika berlaku kematian atau hilang upaya penuh dan kekal.

Secara keseluruhannya, perancangan kewangan amat penting dan ianya perlu diberi perhatian sewajarnya, lebih-lebih lagi bagi peringkat awal kehidupan untuk memastikan matlamat perancangan kewangan yang diinginkan dapat dicapai sepenuhnya.

- Sumber: Laporan Perkhidmatan Insurans Malaysia 2010, 2011 & 2012.

Catatan popular daripada blog ini

506,000 Orang Rakyat Malaysia Menganggur Pada Februari 2016

Pelan IkhlasLink Secure Takaful

Dia