Mampukah Perbankan Islam Jadi Bank Arus Perdana?

Mukadimah
Kehadiran sistem kewangan Islam di negara ini menerusi Bank Islam Malaysia Berhad pada 1983, menjadi lambang perkembangan baharu dalam industri perbankan di Malaysia.

Walaupun, ia masih baharu di negara ini, namun perkembangannya secara berperingkat sejak 31 tahun lalu dapat diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat hari ini.

Namun, benarkah ada golongan masyarakat atau pengguna masih kabur mengenai fungsi dan tujuan sistem kewangan Islam dan sering disalah ertikan oleh segelintir individu.
Manakala bagi sistem kewangan itu sendiri pula, sejauh manakah ia mampu memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat hari ini?

Untuk menuju ke arah mencapai 100 peratus sistem kewangan Islam sepenuhnya, Dekan Institut Kewangan dan Perbankan Islam IIUM (IIiBF), Prof Madya Dr Syed Musa Alhabshi berkata, sistem sedia ada perlu diperhalusi.

“Setakat ini, kita sudah berada di antara 60 hingga 70 peratus bagi mencapai keperluan pelaksanaan kewangan Islam sepenuhnya," katanya.

Mengulas berhubung adakah  mampu perbankan Islam menjadi bank arus perdana, Syed Musa berkata, kemungkinan perbankan boleh menjadi bank arus perdana setelah ia menjadi pilihan utama.

Katanya, setakat ini, perbankan Islam negara kita belum lagi ke arah itu kerana ada banyak perkara yang perlu diperbaiki dan ditambah baik secara menyeluruh.

Namun, Syed Musa percaya usaha gigih serta telus suatu hari nanti pengguna akan jadikan perbankan Islam sebagai pilihan utama bank arus perdana.

Syed Musa berkata, bagaimanapun perkembangan perbankan Islam di negara ini hari ini menunjukkan sambutan yang menggalakkan.

“Kita dapat lihat, selepas Bank Islam Malaysia terdapat sambutan yang baik daripada syarikat perbankan lain dengan menubuhkan 'window' dan seterusnya anak syarikat perbankan Islam sendiri.

“Kini hampir kesemua syarikat perbankan ada perbankan Islam,” katanya. Menurutnya, keadaan ini menunjukkan satu pencapaian baik terhadap perbankan Islam.

“Ia juga bermakna perbankan Islam tidak merugikan, kalau rugi sudah pasti ia tidak diterima," katanya.

Bagaimanapun, di Malaysia perkembangan perbankan Islam tidak berlaku secara mendadak berbanding negara lain, sebaliknya secara berperingkat.

Menurutnya, sejak penubuhan perbankan Islam menerusi Bank Islam Malaysia, masyarakat sudah menerima sistem kewangan Islam ini tetapi ia tidak sepenuhnya.

Ada segelintir masyarakat tertanya-tanya, perbankan Islamik ini benar-benar Islamik?


Kontrak kedua-dua pihak mesti jelas

Salah satu halangan memajukan perbankan Islam adalah sejauh mana bank dan pengguna memahami kontrak ditandatangani.

Dekan Institut Kewangan dan Perbankan Islam IIUM (IIiBF), Prof Madya Dr Syed Musa Alhabshi berkata, perbankan Islam mempunyai pelbagai kontrak jika dibandingkan dengan kontrak pinjaman bank konvensional.

Katanya, kesemua kontrakkontrak itu perlu diperjelaskan lebih terperinci kepada pengguna sebelum membiayai sebarang aktiviti.

Menurutnya, jika tidak dijelaskan sebab itulah timbul masalah di kalangan pengguna yang tidak biasa dan faham sistem kewangan Islam.

Oleh itu, adalah penting pihak bank memberi penjelasan teliti kepada pengguna agar menolak kemungkinan wujudnya tanggapan tidak positif terhadap perbankan Islam.

“Sebab itu timbul masalah pengguna keliru terhadap sistem kewangan itu sendiri dan ada juga menganggap ia tidak tulus kepada pengguna,” katanya.

Katanya, kontrak sedia ada adalah kontrak dagangan diubah suai untuk menepati keperluan kewangan Islam masa kini.

Masih ada pengguna keliru

Dekan Institut Kewangan dan Perbankan Islam IIUM (IIiBF), Prof Madya Dr Syed Musa Alhabshi berpandangan, masih ada pengguna masih keliru terhadap perbankan Islam.

Bahkan, sejak kebelakangan ini timbul persoalan di kalangan masyarakat.

“Adakah duit daripada perbankan Islam bercampur kerana ia daripada kaunter sama. “Ini akan timbul kerana negara kita mengamalkan dual perbankan. Pengguna akan selalu membandingkan pebankan Islam dengan bank konvensional,” katanya.

Menurutnya, dalam perbankan Islam saluran wang itu perlu jelas dan ia tidak boleh dicampurkan dengan kewangan yang berbaur bunga atau riba.

Bank Negara Malaysia telah membuat garis panduan terperinci dalam mengawalnya.

“Bagi saya dari segi pengawasan dan  perundangan, Malaysia adalah antara terbaik bagi perbankan Islam. Negara kita melakukannya dengan teliti,” katanya.

Syed Musa berkata, kewujudan perbankan Islam pada asalnya untuk memberi peluang kepada masyarakat majmuk membuat pilihan.

“Ia diterima sebagai alternatif bagi mereka yang ingin menggunakan transaksi kewangan menepati hukum Syariah.

“Namun, persoalannya adakah ia pilihan utama pengguna? Bagi saya ia satu pilihan utama kepada yang ingin serta perlu menepati hukum Islam,” katanya.


Perbankan Islam lebih untungkan peminjam

Pinjaman menerusi perbankan Islam tidak membebankan peminjam, sebaliknya mereka lebih untung berbanding meminjam dari perbankan konvensional.

Pengarah Kumpulan Shariah dan Perundangan Islam CIMB Islamic Bank Berhad, Abdul Ghani Endut berkata, kadar dikenakan perbankan Islam di negara ini, jauh lebih rendah daripada pasaran semasa.

Menurut laporan Sinar Harian sebelum ini, Abdul Ghani berkata, berbeza dengan perbankan konvensional yang mengenakan kadar lebih tinggi.

“Untuk itu, peminjam tidak akan terasa terbeban. Walaupun lewat pembayaran sekali pun, ia hanya dikenakan caj rendah tidak seperti perbankan konvensional yang mengenakan caj berlipat kali ganda tanpa disedari peminjam.

“Melihat kepada aspek itu, ia menjadi faktor kepada pertumbuhan positif perkhidmatan perbankan Islam negara kerana memberi manfaat lebih besar kepada masyarakat berbanding perbankan konvensional,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian turut melaporkan sebelum ini bahawa Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) menyasarkan mencapai portfolio kewangan Islam sebanyak 80 peratus menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus berkata, pihaknya yakin ia meningkat menjelang tahun depan kepada 90 peratus kerana SME Bank akan menjadi institusi kewangan pembangunan perbankan Islam sepenuhnya menjelang 2015.

Menurutnya, SME Bank akan memberikan tunjuk ajar dan bekerjasama dengan pelanggan untuk membantu pelanggan sedia ada menukar portfolio pembiayaan konvensional mereka kepada portfolio berlandaskan Syariah.

Katanya, pihaknya kini sedang memperkukuhkan model patuh Syariah yang sudah pun dimulakan pada fasa pertama pelan pemulihan Bank SME sejak 2011.


Sinar Harian - 8 Disember 2014

Catatan popular daripada blog ini

506,000 Orang Rakyat Malaysia Menganggur Pada Februari 2016

Pelan IkhlasLink Secure Takaful

Dia