Sistem Kewangan Islam : Kewajipan atau Pilihan?
Islam adalah agama yang bersifat universal dan syumul. Hukum Islam tidak hanya terhad pada persoalan ibadat, hal ehwal perkahwinan atau bila berlaku kematian semata-mata, malah hakikat ibadat menurut pengertian Islam ialah kepatuhan kepada minhaj Allah S.W.T. yang meliputi semua persoalan berkaitan dengan kehidupan manusia termasuklah ibadat, muamalat, munakahat, jenayah, siasah, sosial, ekonomi dan sebagainya yang wajib diuruskan berlandaskan hukum Syarak.
Sistem ekonomi Islam amat mementingkan aspek keadilan dan keseimbangan antara kebebasan individu dengan maslahah awam dan soal agama dengan perkara-perkara keduniaan. Prinsip ekonomi dalam Islam tidak hanya bermatlamatkan kebendaan semata-mata tetapi turut bermatlamatkan ibadat yang membolehkan kita mendapat pahala jika diusahakan dengan niat kerana Allah S.W.T. dan berhasrat untuk mendapatkan keredaan-Nya.
Perbankan Islam dan perbankan konvensional
Sistem perbankan dan kewangan Islam merujuk kepada satu rangka kerja institusi perbankan dan kewangan yang dijalankan berlandaskan prinsip Syariah bagi merealisasikan keadilan dalam pengagihan kekayaan dan juga pendapatan. Pengurusan perbankan dan kewangan Islam adalah berasaskan kepada transaksi Islam dalam fiqh al-mu‘amalat supaya aktivitinya sentiasa bertepatan dengan prinsip Syariah.
Perbezaan utama antara sistem perbankan Islam dengan sistem perbankan konvensional ialah tentang konsep halal dan haram yang menjadi tunggak keunggulan sistem nilai dan norma yang dibangunkan oleh Islam. Perbankan konvensional tidak perlu patuh kepada prinsip Syarak dan bebas menggunakan transaksi ribawi dalam segala urusan mereka. Sebaliknya, perbankan Islam tidak mengamalkan riba malah menggunakan transaksi-transaksi yang mematuhi Syariah serta mempraktikkan konsep perkongsian untung dan rugi dalam perbankan bagi menggantikan mekanisme bunga dalam operasi.
Namun demikian, masih ramai di kalangan umat Islam pada hari ini yang lebih mengutamakan sistem perbankan dan kewangan konvensional dan mengetepikan sistem Islam, malah ada juga yang beranggapan bahawa perbankan Islam dan perbankan konvensional adalah sama sahaja. Sebenarnya, jika kita teliti dalam Al-Quran, tanggapan seperti ini telah pun wujud semenjak zaman dahulu lagi di mana Allah S.W.T. telah berfirman, maksudnya:
“Orang-orang yang makan (mengambil)
riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang
kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan
mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata
(berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal
Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba...”
(Surah al-Baqarah, ayat 275)
Tanggapan sedemikian antara lain berasaskan kepada faedah yang diterima oleh pelanggan kerana bank-bank yang mengamalkan perbankan Islam juga memberi atau mengambil keuntungan ke atas penyimpan, peminjam dan pelabur seperti juga bank-bank konvensional. Mereka menyimpulkan bahawa perkara tersebut menunjukkan bahawa perbankan Islam sama sahaja seperti perbankan konvensional, tiada bezanya kerana berurusan dengan perbankan Islam juga kita mendapat pulangan sama seperti dalam perbankan konvensional.
Bagi menjawab persoalan tersebut, dari segi hukumnya memang sudah jelas seperti ayat tersebut di atas iaitu Allah S.W.T. telah dengan jelasnya mengharuskan jual beli dan mengharamkan riba. Dari segi dalil ‘aqli pula, perbandingan yang kita boleh berikan adalah seperti hukum sembelihan antara orang Islam dengan bukan Islam. Walaupun hasil daripada sembelihan memberi natijah yang sama iaitu kedua-dua jenis sembelihan mengikut cara masing-masing dapat memberikan manfaat kenyang yang sama selepas dimakan hasilnya, namun ia tidak mengharuskan orang-orang Islam untuk memakan sembelihan orang bukan Islam (selain sembelihan ahli kitab) kerana tatacara sembelihan yang berlainan.
Kita boleh bertanya pula, adakah dengan mengambil kira bahawa hasil kedua-dua jenis sembelihan iaitu oleh orang Islam dan bukan Islam sama-sama menatijahkan kenyang selepas dimakan, maka hukum sembelihan orang bukan Islam juga adalah halal untuk orang Islam? Jelasnya, hukum kedua-duanya tetap berbeza iaitu sembelihan orang Islam yang sempurna adalah halal untuk orang Islam dan sembelihan bukan Islam tetap tidak halal melainkan untuk mereka sahaja.
Perlu diingat bahawa Islam tidak hanya melihat kepada natijah sesuatu perbuatan itu semata-mata tetapi juga melihat kepada tatacara atau kaedah ia dihasilkan. Seperti satu kaedah iaitu “menutup jalan-jalan kerosakan” (saddul-zara’i`) dan juga kaedah “niat yang baik tidak akan menghalalkan perbuatan yang haram” (al-niyyah al-hasanah la tubarriru al-haram), bermaksud walaupun tujuan asal sesuatu perbuatan itu baik tetapi jika dihasilkan melalui cara yang haram maka ia adalah dilarang dalam Islam.
Mungkin ada yang berpandangan bahawa kadar faedah yang ditetapkan oleh perbankan konvensional adalah kecil sahaja dan tidak membebankan atau menindas malah mungkin lebih rendah berbanding bank-bank Islam. Namun harus diingat bahawa Islam tetap melarang perkara-perkara haram, yang sedikitnya mahupun yang banyaknya. Umpamanya meminum arak atau lain-lain minuman yang memabukkan, walaupun dengan meminum setitik sahaja tidak akan memabukkan kita tetapi hukum meminum setitik arak adalah tetap haram dalam Islam sebagaimana hadis Nabi S.A.W. yang bermaksud: “Apa yang banyaknya memabukkan maka yang sedikitnya pun haram.” (Hadis riwayat Ibn Majah).
Bak kata pepatah, “api bila kecil jadi kawan, bila besar jadi lawan”, Islam amat menekankan kebajikan umat-Nya daripada sebarang mudarat dan penindasan dari sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya. Mungkin kita nampak nisbah riba yang ditetapkan oleh perbankan konvensional sekarang adalah kecil, tetapi kita juga kena lihat tujuan kenapa Islam mengharamkan riba dengan sekeras-kerasnya. Kita boleh rujuk contohnya pinjaman yang diberikan oleh “Ah Long”, bayaran bunga yang dikenakan hasil pinjaman adalah berlipat kali ganda dan sangat menindas peminjamnya. Sama ada kecil atau besar kemudaratan yang timbul dengannya, ia boleh membantut dan menjejaskan kebahagiaan hidup masyarakat dan ummah.
Kewajipan atau pilihan
Suatu ketika dahulu, mungkin kita tiada pilihan untuk menggunakan produk kewangan Islam dalam aktiviti-aktiviti kewangan seperti perbankan, pajak gadai, insurans dan sebagainya kerana ketiadaan. Namun dewasa ini, kita telah ada banyak bank-bank Islam dan juga bank-bank konvensional yang membuka Islamic Windows dengan turut menawarkan produk-produk perbankan Islam kepada mereka yang berminat terutamanya umat Islam. Begitu juga produk-produk kewangan Islam yang lain seperti pajak gadai Islam (al-rahnu), takaful, sukuk dan seumpamanya.
Dalam ketiadaan mungkin kita akan memberi alasan tiada alternatif lain melainkan sistem kewangan konvensional, jadi kita terpaksa guna sama ada secara rela atau tidak. Tetapi apabila sudah ada alternatif-alternatif produk kewangan Islam yang ada di hampir semua institusi-institusi perbankan di negara kita, dan dengan melihat kepada kecaman oleh Allah S.W.T. dan Rasul-Nya dalam Al-Quran dan Sunnah ke atas pengamal riba, adakah kita masih boleh memilih untuk menggunakan sistem kewangan konvensional yang berasaskan riba dan mengabaikan sistem kewangan Islam? Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang
mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan
Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan
(yang lain) tentang urusan mereka. Dan barang siapa menderhakai Allah
dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.”
(Surah al-Ahzab, ayat 36)