Kewajipan Pemimpin Mengutamakan Kemaslahatan

Khalifah yang terkenal dengan kebijaksanaan dan ketegasan, `Umar ibn al-Khattab r.a. mengungkap, “Dalam mengurus harta Allah, aku meletakkan diriku sama seperti penjaga harta anak yatim.  Jika aku memerlukannya, aku akan mengambilnya, jika tidak, aku akan memulangkannya.  Sekiranya aku berkemampuan, maka aku menahan diri daripada mengambilnya.  Sekiranya pula aku amat memerlukan, aku akan menggunakannya dengan baik dan wajar.”  Kata-kata `Umar r.a. ini merujuk kepada peringatan yang diberikan Allah dalam ayat 6, Surah al-Nisa’ berhubung dengan tanggungjawab pengurus harta anak yatim.  Al-Imam al-Syafi`e r.h. menjadikan ungkapan `Umar r.a. ini sebagai prinsip dan mengatakan, “Kedudukan pemerintah dalam mengurus urusan rakyat atau orang yang dipimpin sama seperti kedudukan penjaga atau pentadbir dalam urusan anak yatim.”


Ungkapan Khalifah `Umar r.a. yang amat bermakna itu akhirnya dijadikan salah satu kaedah fiqh yang utama, iaitu “Pengurusan hal-ehwal rakyat oleh pemimpin berdasarkan maslahah”.  `Ulama’ menghuraikan kaedah tersebut dengan agak terperinci.  Menurut mereka, pemerintah bertanggungjawab untuk memelihara maslahah rakyat.  Justeru mereka berkewajipan menjaga harta rakyat dan tidak membazirkannya.  Sebagaimana dinyatakan oleh Khalifah `Umar r.a., kedudukan pemimpin tidak ubah seperti pengurus harta anak yatim. Hal ini bermaksud tahap keprihatinan dan berhati-hati mereka dalam pengurusan harta tersebut mestilah tinggi.  Mereka seharusnya berasa amat bimbang kalau-kalau mereka tercuai atau gagal sama sekali menguruskannya dengan baik.  Sebagaimana diberikan peringatan oleh al-Qur’an, kebinasaan akan menimpa mereka bukan sahaja di dunia bahkan lebih-lebih lagi di akhirat. 

`Ulama’ juga menyatakan bahawa kaedah ini menerangkan asas penting bagi pengurusan hal ehwal ummah dan pentadbiran maslahah mereka sama ada khusus atau umum.  Demikian juga dengan pelaksanaan keadilan, kebaikan, dan kesaksamaan.  Bagi memastikan kemaslahatan terpelihara dalam skop yang lebih luas, maka pemimpin bukan sahaja dibataskan pada pemimpin negara sahaja bahkan turut meliputi individu yang mentadbir pelbagai bentuk urusan orang ramai.  Antaranya termasuklah hakim, menteri, pengarah dan pegawai atasan di sesebuah jabatan atau organisasi.  Mereka ini merupakan wakil bagi seluruh ummah untuk memelihara maslahah, melaksanakan keadilan, menghalang kezaliman, memelihara hak, mengekalkan keamanan, menyebarluaskan ilmu pengetahuan, dan menghalang serta  menyucikan atau menghapuskan segala bentuk kemudaratan yang menggugat kemaslahatan ummah. 

Kepercayaan yang diberikan oleh ummah kepada individu yang mengendalikan urusan mereka merupakan amanah besar.  Pada semua individu berkenaanlah disandarkan harapan agar urusan dan kepentingan mereka dikendalikan dengan penuh tanggungjawab.  Oleh yang demikian, kepercayaan tersebut tidak wajar sama sekali dibalas dengan pengkhianatan.  Dalam sebuah Hadith daripada Ma`qal ibn Yasar, Nabi s.a.w. diriwayatkan bersabda yang bermaksud, “Tiada seorang (pemimpin) yang diamanahkan oleh Allah untuk memimpin rakyat (orang bawahan)nya meninggal dunia, dan ketika meninggal dunia itu, ia menipu rakyat (orang bawahan)nya, melainkan Allah mengharamkannya untuk memasuki syurga.” (Al-Bukhari dan Muslim). 

Menyentuh tentang kemaslahatan ummah, ia seharusnya diberikan keutamaan oleh pemerintah.  Pemerintah atau pemimpin mesti berusaha menunaikan hak rakyat atau golongan yang dipimpin bagi mengekalkan keamanan dan meraih keredaan Allah s.w.t.  Sebaliknya jika pemimpin mendahulukan kemusnahan berbanding dengan kemaslahatan, ia hanyalah mengundang kemurkaan dan dosa yang besar di sisi Allah.  Hal inilah yang dapat dilihat kini berlaku di beberapa buah negara Islam di dunia.  Kebinasaan, iaitu pembunuhan rakyat yang menuntut hak mereka diutamakan berbanding dengan kemaslahatan, iaitu pemeliharaan nyawa dan hak mereka. Demikian pula dalam soal pengurusan sumber dan perbendaharaan negara.  Kemaslahatan rakyat perlu sentiasa dijadikan keutamaan berbanding dengan kemudaratan atau kesulitan.  Justeru, kemaslahatan mereka tidak harus sama sekali digadaikan demi pelaksanaan sesuatu dasar yang kelihatannya hanya mendatangkan kebaikan yang sedikit tetapi menimbulkan keluhan yang besar.

Seandainya pemerintah negara atau pemimpin organisasi atau yang lainnya benar-benar menghayati ungkapan Khalifah `Umar r.a., maka mereka pasti menyedari beratnya amanah mentadbir urusan rakyat atau kumpulan yang dipimpin.  Perbendaharaan negara atau wang syarikat atau organisasi hanya diambil sekadar yang diperlukan dan akan dipulangkan sekiranya tidak diperlukan.  Bahkan `Umar r.a. juga mengatakan bahawa jika berkemampuan, beliau akan menahan diri daripada mengambil wang daripada perbendaharaan negara (Baitul Mal).  Jika pun perlu diambil, ia digunakan dengan cara yang amat wajar.  Persoalan yang penting di sini ialah siapakah yang benar-benar dapat menahan diri daripada menggunakan wang milik negara, syarikat atau pertubuhan yang dipimpin mereka? Begitu juga siapa pula yang hanya menumpukan keuntungan negara atau syarikat yang dikendalikan tanpa mempedulikan luahan penderitaan rakyat atau kumpulan yang dipimpin? Benarlah sebagaimana diungkap al-Qur’an, nafsu yang sentiasa mendorong kepada kejahatan mudah sahaja membuatkan amanah yang digenggam dicuaikan begitu sahaja. 

Kecintaan dan ketamakan kepada harta merupakan antara kebimbangan besar yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w. menimpa umat Baginda.  Dalam sebuah Hadith, Baginda menegaskan, “Demi Allah, bukan kefakiran yang kubimbangi menimpa kamu, tetapi aku bimbang jika dibentangkan dunia kepada kamu sebagaimana dibentangkan kepada mereka yang terdahulu daripada kamu, lalu kamu bersaing untuk mendapatkannya, sebagaimana mereka bersaing (sesama mereka).  Lantas dunia itu memusnahkan kamu sebagaimana ia telah memusnahkan mereka.” (Bukhari dan Muslim).  Dalam Hadith yang lain, iaitu daripada Anas r.a., Baginda bersabda yang bermaksud, “Jika manusia telah mempunyai harta sebanyak dua buah lembah, nescaya ia masih mencari lembah yang ketiga.  Tiadalah yang memenuhi perut manusia selain tanah.  Allah menerima taubat daripada sesiapa yang bertaubat.” (Muslim)

Dalam apa juga keadaan, hanya ketaqwaan sahajalah yang dapat membimbing seseorang pemimpin untuk melaksanakan amanah kepemimpinan dengan penuh pertanggungjawaban.  Ketaqwaan jugalah yang akan sentiasa mengingatkan pemimpin berkenaan perihal hakikat kepemimpinan dan harta sebagai ujian.  Dengan yang demikian, kedua-duanya akan ditadbir dengan amat berhati-hati dan penuh kebimbangan.  Kesejahteraan rakyat atau kumpulan yang dipimpin sebagaimana diingatkan Khalifah `Umar r.a. akan sentiasa dijadikan keutamaan.  Sebaliknya kemudaratan rakyat atau kumpulan yang dipimpin segera sahaja dihapuskan.  Hal ini dilakukan kerana menyedari bahawa kemajuan negara, syarikat atau organisasi yang dipimpin hakikatnya bergantung pada kebahagiaan dan kesejahteraan kehidupan rakyat atau kumpulan yang dipimpin.  Lebih penting daripada itu, segala hal berkaitan dengan mereka tidak akan terlepas tanpa dipersoal dengan terperinci di hadapan Allah s.w.t. kelak.  Justeru, amanah kepemimpinan tidak dianggap sebagai kelebihan untuk dinikmati.  Sebaliknya sebagai tanggungjawab yang mesti dilunaskan sebaik-baiknya agar di akhirat kelak tidak disesali.

Catatan popular daripada blog ini

506,000 Orang Rakyat Malaysia Menganggur Pada Februari 2016

Pelan IkhlasLink Secure Takaful

Dia