Malaysia Memerlukan Ramai Tenaga Pakar Dalam Industri Kewangan Islam


INDUSTRI kewangan Islam sejak le­bih sedekad lalu merupakan salah satu sektor yang paling pesat berkembang dalam sistem kewangan global. Sektor yang dimulakan de­ngan AS$150 bilion (RM558 bilion) pada pertengahan 1990-an ini telah berkembang secara berperingkat dan konsisten.

Pertumbuhan yang kukuh tersebut terbukti dengan jumlah aset di dalam industri perbankan Islam yang berkembang secara purata 16.4 peratus setahun daripada RM303.2 bilion pada akhir 2009 kepada RM558.2 bilion pada akhir 2013.

Selari dengan kepesatan penyelidikan dan perkembangan industri kewa­ngan Islam global adalah mustahak bagi institusi-institusi kewangan khususnya bank pusat untuk mengambil kira aspek modal insan dan daya kerja sumber manusia yang bukan sahaja mencukupi malah mempunyai kepakaran dan kemahiran untuk memacu pembangunan dan inovasi di dalam industri ini.



Tenaga mahir

Melihatkan sistem kewangan global mendepani risiko-risiko pasaran contoh­nya, krisis kewangan pada tahun 2008 dan 2009, keperluan untuk mempu­nyai tenaga mahir dalam sektor kewangan Islam semakin ketara untuk menghadapi keunikan dan dinamika perkembangan dalam pasaran kewangan Islam.

Hal ini melihatkan kepada keper­luan dalam kewangan patuh Syariah untuk lebih kreatif dan inovatif daripada institusi-institusi kewangan Islam untuk memenuhi keperluan pasaran.

Berdasarkan jangkaan pasaran, pada masa hadapan, industri kewangan Islam global memerlukan lebih kurang satu juta pakar bertaraf profesional. Malaysia sendiri memerlukan 56,000 tenaga kerja pakar menjelang tahun 2020.

Antaranya, sebagai pegawai eksekutif syariah dan penasihat syariah. Dua ruang vakum yang wujud dalam industri ini harus dipenuhi oleh individu-individu yang mempunyai kela­yakan dan berdaya saing.
Institusi-institusi kewangan Islam saban tahun membuat lantikan baharu bagi posisi penasihat syariah untuk setiap tempoh dua tahun. Melalui mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Syariah inilah ahli yang dilantik akan bersidang serta membuat kajian dan memberi solusi serta panduan mengenai isu-isu berkaitan perbankan Islam.

Begitupun, seramai 173 penasihat syariah berdaftar dalam industri ini adalah termasuk panel yang bukan warganegara malah sebilangannya diimport dari luar negara.
Ia menggambarkan industri masih memerlukan penasihat-penasihat syariah baharu dan berketrampilan bagi mengisi kekura­ngan tersebut.

Melihat dari sisi yang lain, Rangka Kerja Tadbir Urus Syariah yang dikeluarkan oleh Bank Negara menggariskan setiap Jabatan Pengurusan Syariah di dalam institusi kewangan Islam harus mempunyai pegawai-pegawai eksekutif syariah.

Ia untuk menggerakkan empat unit utama iaitu Unit Penyelidikan Syariah, Unit Audit Syariah, Unit Pengurusan Risiko Syariah serta Unit Penilaian dan Pematuhan Syariah.
Walhal realiti semasa seolah-olah menampakkan kekurangan bilangan tenaga kerja dan pakar di dalam industri ini.

Kewangan Islam itu sendiri bukan sahaja menuntut kefahaman yang komprehensif dalam aspek kewangan, ekonomi, perundangan atau perakaunan malah menitikberatkan pemahaman yang mendalam terhadap ilmu Syariah selain mengharmonikan pengaplikasiannya sesuai de­ngan kerangka industri semasa.

Antara fungsi dan peranan kerja yang memerlukan penguasaan dua bidang tersebut adalah penstrukturan produk, penganalisa pematuhan Syariah, audit, penyelidikan, pengawal seliaan atau penggubalan sistem perundangan, dan pengurusan risiko.

Inisiatif

Ia boleh dilihat dengan lebih terperinci apabila melibatkan penstrukturan produk patuh Syariah dan jurutera kewangan yang bertanggungjawab menstruktur dan menyediakan solusi kewa­ngan patuh Syariah yang berinovatif bagi memenuhi kehendak pasaran.

Bagi membangunkan kepakaran dan pembangunan sumber manusia dalam industri kewangan Islam, kerajaan Malaysia atau Bank Negara khususnya telah memperkenalkan beberapa inisiatif bagi menyokong usaha melahirkan tenaga kerja pakar dan profesional dalam kewangan Islam.

Selari dengan aspirasi yang disuara­kan di dalam Bajet 2015 (Rancangan Malaysia Ke-10) di bawah tajuk Memper­kukuhkan Pasaran Kewangan Islam, Financial Sector Blueprint (FSBP) 2011-2020 telah dikeluarkan oleh Bank Negara yang menggariskan pembangunan kepakaran antara matlamat utama yang perlu digarap dan diberi perhatian.

Bank Negara selaku badan pengawal selia telah menjadi pencetus dalam memperkenalkan universiti kewangan Islam global pertama pada tahun 2005, International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF) yang menawarkan program-program lepasan ijazah sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Sehingga kini, INCEIF mempunyai ribuan pelajar dari lebih 80 buah negara selain mendapat berbagai anugerah dan pengiktirafan termasuk anugerah Project of National Interest oleh Perdana Menteri pada tahun 2010 bagi mengiktiraf pera­nan INCEIF di dalam pembangunan sumber manusia bagi industri kewangan Islam di Malaysia.

Selain INCEIF, kini terdapat lebih 30 institusi awam dan swasta yang menawarkan program akademik (ijazah dan lepasan ijazah) serta latihan kewangan Islam di Malaysia.

Bagi penyelidikan, pendidikan dan latihan industri, Malaysia mempunyai Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia, Securities Industry Development Cooperation, International Centre for Leadership in Finance, International Shariah Research Academy for Islamic Finance dan Financial Sector Talent Enrichment Development Programme.

Malaysia juga telah memperuntukkan RM200 juta untuk tujuan utama iaitu menaik taraf pendidikan, penyelidikan, kepakaran, dan wacana intelektual dalam bidang Syariah dan kewangan Islam.
Bukan sahaja di Malaysia, terdapat juga negara-negara yang memajukan sektor kewangan Islam yang giat membangunkan sumber manusia.

Merujuk kepada Indikator Pertumbuhan Kewa­ngan Islam (IFDI) yang dikeluarkan oleh Islamic Corporation of the Development of the Private Sector iaitu sebuah affiliate Bank Pembangunan Islam (IDB) Arab Saudi menunjukkan Britain menjuarai sektor pendidikan global dalam kewa­ngan Islam dengan lebih 68 institusi yang menawarkan kursus kewangan Islam dan 25 universiti yang menawarkan program ijazah sarjana muda pengkhususan di dalam kewangan Islam.

Ia diikuti Malaysia yang mempunyai lebih 50 institusi menawarkan kursus kewangan Islam dan 18 universiti yang menawarkan program ijazah sarjana muda pengkhususan di dalam kewangan Islam. Emiriyah Arab Bersatu dan Arab Saudi masing-masing mendapat tempat ketiga dan keempat tertinggi.

Realisasi

Secara keseluruhannya, IFDI meng­anggarkan 420 institusi di peringkat glo­bal yang menawarkan kursus kewangan Islam dan 113 universiti di peringkat global menawarkan program ijazah sarjana muda pengkhususan di dalam kewangan Islam.

Umumnya, membangunkan generasi dan legasi yang memiliki kepakaran dan kompetensi di dalam industri kewangan Islam menjadi prioriti utama kerajaan Malaysia khususnya dua badan pengawal selia, Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Dengan beberapa inisiatif yang telah dirancang dan terlaksana, ia menggambarkan Malaysia sedang berkembang positif untuk menjadi negara terbesar yang menawarkan sumber manusia di dalam kewangan Islam selain merealisasikan impian negara untuk mendapat pengiktirafan antarabangsa di dalam mendepani program-program pendidikan dan latihan kewangan Islam global.

Catatan popular daripada blog ini

506,000 Orang Rakyat Malaysia Menganggur Pada Februari 2016

Pelan IkhlasLink Secure Takaful

Dia