Rancang Persaraan Anda Dengan Takaful

AHMAD seorang yang kuat bekerja di sepanjang hidupnya. Keutamaannya adalah untuk menyara keluarga dengan sebaik mungkin. Zaman persaraan pula adalah saat yang sangat dinanti-nantikan, kerana dia akhirnya dapat berehat dan melakukan segala yang diidamkannya selama ini, yang telah terbantut kerana kesibukannya mencari rezeki serta mengejar tuntutan harian.

Pada senarai teratas keutamaan beliau adalah untuk meluangkan masa dengan orang tersayang, termasuk cucu, ahli baharu dalam keluarga yang berkembang. Untuk beberapa bulan pertama persaraan, segalanya adalah seperti yang diimpikan.

Keluarganya dibawa bercuti ke luar negara. Masanya dihabiskan dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak dapat dilakukannya sebelum ini. Beliau kini bebas melakukan apa sahaja yang diinginkan pada bila-bila masa.

Tanpa beliau sedari, dana persaraan berkurangan dari masa ke semasa dan apabila si isteri menyatakan kebimbangannya ke atas kedudukan kewangan, beliau berkata kepada isterinya: “Wang yang kita simpan selalunya dibelanjakan semasa persaraan”.

Walaupun keadaan ini sedikit membimbangkan, namun dia merasakan masih boleh bertahan dan tidak perlu terlalu memikirkannya. Tiada sesiapa pun termasuklah Ahmad yang boleh menjangka akan tragedi yang bakal berlaku seterusnya.

Hanya dalam masa dua tahun pertama persaraan, Ahmad telah disahkan menghidap penyakit kanser. Kejadian ini memburukkan lagi kesempitan kewangan yang mula dihadapinya ketika itu. Dia terpaksa menggunakan hampir ke semua wang simpanan untuk pembayaran bil-bil perubatan kerana tidak ada pelan perlindungan yang mencukupi bagi menanggung perbelanjaan perubatan yang tinggi di samping gaya hidup yang diingini.

Impiannya untuk zaman persaraan yang indah telah bertukar menjadi mimpi buruk dengan masalah kewangan dan penyakit kronik yang dihadapinya. Anak-anak hanya mampu menanggung kehidupan mereka sendiri manakala isterinya juga adalah seorang pesara seperti dirinya. Ahmad mula tertanya-tanya bagaimana agaknya keadaan sekiranya dia merancang zaman persaraannya dengan lebih baik.

Merancang untuk persaraan adalah langkah pertama yang perlu dibuat tidak kira berapa pun umur anda. Anda perlu sentiasa merancang dan mula menabung untuk hari tua anda dengan mempunyai pelan perancangan kewangan yang efektif.

Ini merangkumi beberapa faktor seperti kesihatan, harta benda di samping keperluan harian. Adalah lebih baik untuk memulakannya lebih awal, walaupun zaman persaraan kelihatan masih jauh lagi apabila anda berada di usia seawal dua puluhan. Merancang untuk persaraan mungkin bermakna menyimpan wang untuk hari tua, namun kadang kala dengan hanya mempunyai wang di bank adalah tidak memadai.

Mendapatkan pelan persaraan adalah sama pentingnya dengan menyimpan wang dan cara terbaik adalah melalui takaful. Apabila menghampiri zaman persaraan ramai yang memiliki sejumlah harta dan ada yang telah melindungi diri dan keluarga daripada sebarang kemungkinan.

Selain itu, anda juga perlu memastikan bahawa diri dilindungi dengan tuntutan kesihatan dan peningkatan kos rawatan.

Jadi bagaimana anda boleh melindungi pelan persaraan anda?

Dapatkan pelan takaful kesihatan.

Pelan takaful kesihatan memberi anda perlindungan terhadap kenaikan perbelanjaan perubatan. Jadi jika anda bimbang tentang kos perubatan masa hadapan, pelan ini dapat membantu meringankan beban kewangan dan pengurusan wang yang lebih baik.

Pelan ini juga akan menyediakan perlindungan terhadap penyakit yang mungkin menyerang pada usia tersebut. Pelan takaful kesihatan yang menyeluruh, memberikan anda keupayaan untuk menangani urusan kesihatan anda sendiri. Dengan sumber kewangan yang mencukupi, anda akan turut mampu membuat perubahan gaya hidup untuk kekal sihat dan InsyaAllah hidup dengan lebih lama lagi.

Dapatkan pelan takaful untuk melindungi rumah/aset.

Aset terbesar yang anda miliki apabila bersara selalunya adalah pemilikan rumah. Ramai juga telah menyelesaikan bayaran rumah ketika itu. Jika ya, pelan perlindungan yang meliputi kecurian, kebakaran dan bencana alam adalah penting untuk memastikan anda dilindungi daripada sebarang keadaan yang tidak diduga.

Pelan takaful kediaman biasanya menjadi satu pelan yang menggabungkan perlindungan takaful berkaitan dengan rumah serta isi rumah. Ia juga harus menyediakan perbelanjaan sara hidup tambahan sekiranya rumah anda tidak lagi dapat didiami.

Dapatkan pelan takaful keluarga.

Pelan takaful keluarga mampu melindungi anda sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya. Kebanyakan pelan itu dalam dua kategori iaitu perlindungan dan pelaburan. Pelan perlindungan memberi beberapa manfaat, di antaranya bayaran penuh jumlah perlindungan sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya. Manakala pelan pelaburan menggalakkan pertumbuhan modal melalui sumbangan takaful di samping turut memberikan perlindungan.

Ada pelan takaful turut memberikan pembayaran dengan jumlah tertentu untuk penyakit kritikal, manfaat elaun harian di hospital yang boleh menampung pendapatan keluarga serta perbelanjaan pengebumian.

Dalam kehidupan, kita tidak boleh meramalkan masa depan, tetapi kita boleh bersedia untuk menghadapinya. Persaraan adalah satu episod penting dalam kehidupan.

Zaman persaraan tidak perlukan kejutan tetapi perlukan kepastian; pastikan anda memiliki pelan takaful yang terbaik dan sesuai serta menepati keperluan gaya hidup yang anda inginkan.

Catatan popular daripada blog ini

506,000 Orang Rakyat Malaysia Menganggur Pada Februari 2016

Pelan IkhlasLink Secure Takaful

Dia