Jana Pendapatan Pasif Yang Patuh Syariah

Golongan Bumiputera yang beragama Islam digalakkan untuk mencari saluran alternatif bagi menjana pendapatan pasif seperti melabur secara langsung dalam kaunter patuh syariah di pasaran saham Bursa Malaysia.

Felo di Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Pusat Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Mohamad Azhar Hashim berkata, selain meningkatkan pertumbuhan isi rumah, pelaburan patuh syariah juga mampu membendung aktiviti tidak sihat lain seperti terjebak dalam skim cepat kaya, penyelewengan wang dan rasuah.



Beliau berkata, Bumiputera lebih cenderung untuk memilih unit amanah seperti Amanah Saham Bumiputera, Amanah Saham Nasional dan Tabung Haji berbanding melabur di Bursa Malaysia berikutan stigma masyarakat yang beranggapan pasaran saham adalah platform perjudian.

Mohamad Azhar berkata, sifat 'malas belajar' ilmu pelaburan dalam kalangan Bumiputera dan kurang pendedahan tentang produk pelaburan patuh syariah juga merupakan punca kurangnya permintaan dalam pasaran.

"Ramai yang terjerat dengan pinjaman dan hutang kerana semata-mata mahukan pulangan yang cepat bagi memenuhi kehendak hidup yang banyak.

"Jadikan pelaburan patuh syariah sebagai satu perniagaan untuk kita jana kekayaan alternatif supaya kita tidak terlibat dalam skim-skim yang menyalahi undang-undang ini serta hukum syarak," katanya pada sidang media di Seminar Pasaran Modal Islam Malaysia 2016, di sini, hari ini.

Mohamad Azhar menggesa para pelabur untuk mempelajari sekurang-kurangnya ilmu asas berkaitan pelaburan sebelum menceburkan diri.

Beliau menegaskan aktiviti pelaburan di Bursa Malaysia, sama ada konvensional atau patuh sYariah, jauh lebih baik daripada skim cepat kaya terutamanya dari segi pulangan sekiranya pelabur mengalami kerugian.

"Sekiranya pelabur rugi dalam pasaran saham, sekurang-kurangnya mereka dapat balik sebahagian daripada pelaburan.

"Tetapi, jika terlibat dalam skim cepat kaya, mereka akan mengalami kerugian menyeluruh malah ada yang perlu menanggung hutang," ujarnya.

Seminar dua hari itu menemukan pelbagai pihak berkepentingan dalam pasaran modal Islam Malaysia yang mencakupi para ilmuan, para professional, penyelidik, pelajar, pelabur, usahawan dan sebagainya.

Pasaran modal Islam di Malaysia merupakan yang terbesar di dunia dengan purata pertumbuhan tahunan sebanyak 12 peratus sepanjang lima tahun yang lalu.  

Kini, nilai pasaran modal Islam negara telah melebihi RM1 trilion atau 2.5 kali ganda saiz ekonomi benar Malaysia.

Sumber : Bernama

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

506,000 Orang Rakyat Malaysia Menganggur Pada Februari 2016

Pelan IkhlasLink Secure Takaful

Dia