Pelaburan Bitcoin: Harus atau Haram? Atau Scam?

Banyak betul soalan sebegini dalam ruangan inbox. Sejujurnya saya akui, isu berkenaan bitcoin atau cryptocurrency perlu kepada kajian khusus sama ada peringkat master atau Phd.  Namun ia memerlukan kepakaran yang tinggi dalam dunia digital dan sistem monetari Islam.

Namun atas permintaan ramai untuk komen isu ini, di sini saya berikan beberapa idea asas tentang bitcoin. Terutama ditujukan khas kepada mereka yang terpengaruh dengan skim-skim pelaburan berasaskan bitcoin.



1. Bitcoin semakin popular dengan perkembangan teknologi IT dan komputer, khasnya dengan adanya teknologi P2P dan seterusnya membawa kepada teknologi blockchain yang menjadi asas kepada penggunaan bitcoin.

2. Bitcoin diterima umum sebagai mata wang cryptocurrency dan bitcoin bukan satu-satunya cryptocurrency yang wujud di dunia ini ada lagi pelbagai jenis lain seperti etherium, litecoin dan lain-lain. Bitcoin menjadi popular kerana permintaan terhadapnya dan penerimaan masyarakat cyber sebagai alat pembayaran. Bahkan sesiapa sahaja boleh cipta crypto currency sendiri, menggunakan asas blockchain technology,

3. Antara sebab utama menjadikan bitcoin diterima ialah kerana ia bersifat decentralized iaitu tidak dikawal oleh mana-mana autoriti kewangan, dan tidak perlu kelulusan mana-mana autoriti untuk pemindahan, namun ia dikawal oleh satu sistem public ledger yang dinamik untuk memastikan ia tidak diduplikasi atau 'dipalsukan'.

4. Hakikat mudah difahami, bitcoin ialah komoditi crypto yang biasa, tetapi apabila diterima umum sebagai alat pembayaran, maka jadilah ia mata wang internet. Bitcoin tidak didasari oleh apa-apa aset seperti emas dan perak, ia sama seperti wang fiat yang tidak didasari oleh apa-apa aset pendasar. Bezanya wang fiat diiktiraf melalui legal tender oleh autoriti, sedangkan bitcoin diiktiraf oleh masyarakat digital melalui public ledger. Setiap transaksi akan disenaraikan dalam public ledger. Apa itu public ledger? Itu bukan isu yang nak dibincangkan. Bitcoin turut popular kerana pemiliknya sukar dikesan walaupun identiti ada disenaraikan dalam public ledger. identiti yang ada cuma kod sahaja, dan tidak siapa tahu siapa pemilik kod tersebut. Di sini menjadikan bitcoin diminati oleh para penggubah wang haram. Juga bitcoin diminati oleh para spekulator kerana kenaikan harga yang mendadak. Jika anda inginkan bitcoin kerana kagum dengan kenaikan harga bitcoin berbanding dolar, maka anda termasuk dalam para spekulator tersebut.

5. Bitcoin sangat volatile di mana ia boleh naik dengan masa yang singkat akibat permintaan, dan ini menjadi bukti ia juga boleh jatuh dengan pantas. Jangan ingat apabila ia naik ia akan terus selamanya naik. Semakin cepat nilainya naik, menunjukkan ia boleh jatuh dengan cepat juga.  Bahkan emas fizikal pun ada naik turun, inikan pula aset yang tiada fizikal. Sampai masa bitcoin akan jatuh harganya walaupun landskap penggunaan wang dunia mungkin berubah dengan adanya blockchain technology.

6. Cara mendapatkan bitcoin yang terbaik ialah dengan melakukan proses mining  atau melombong dengan menggunakan komputer berkuasa tinggi yang menyelesaikan permasalahan matematik yang rumit. Ataupun dengan menjual produk dan meminta bayaran melalui bitcoin. Atau menukar dalam pasaran forex antarabangsa tetapi cara ini sangat berisiko yang banyak dicemari dengan penipuan.

7.  Persoalannya adakah penggunakan bitcoin salah di sisi Syariah? Persoalan kedua, bagaimana pula dengan pelaburan bitcoin yang ditawarkan di internet?

8.  Pada asasnya, jika bitcoin sekadar digunakan sebagai alat pembayaran, maka bitcoin tidak salah di sisi Syariah kerana ia cuma komoditi biasa yang diterima umum sebagai alat pembayaran. Menurut kaedah asasnya, jika ia menjadi alat pembayaran,  maka ia menjadi mata wang, dan ia menerima hukum sama seperti wang, iaitu tertakluk dengan hukum riba.  Ada juga pendapat yang tidak mengiktiraf bitcoin sebagai mata wang, tetapi ia cuma komoditi digital yang digilai umum. Apa pun asasnya, ia tetap boleh digunakan untuk alat pembayaran dan medium pertukaran.

9.   Cuma dari satu segi yang lain, keputusan BNM untuk tidak mengiktiraf bitcoin sebagai mata wang sah laku di Malaysia adalah tepat kerana bitcoin tidak menepati ciri-ciri Wang berasaskan Syariah kerana  tahap volatility yang tinggi. Ia tidak sesuai untuk menjadi pengukur nilai kerana nilanya tidak stabil dan tidak dapat dikawal oleh kerajaan. Sifat wang yang sebenar dalam Syariah ialah ia mesti dikawal oleh kerajaan.  Dalam Syariah, permitnaan terhadap wang mesti mempunyai faktor berikut: Medium pertukaran, pengukur nilai, pembyaran hutang,  dan penyimpan nilai. Secara logiknya, bitcoin masih lagi tidak stabil, kerana sifatnya yang decentralized, bagaimana mungkin ia boleh menjadi penyimpan nilai?

10. Adakah pelaburan dalam bitcoin patuh Syariah? Sebelum menjawab soalan tersebut, pertamanya sifat orang tamak, apabila ada sahaja berita tentang bitcoin yang melonjak harganya, maka orang tamak akan mula berminat dengan bitcoin walaupun pengetahuan tentang bitcoin mereka sangat terhad. Keduanya, sudah menjadi lumrah di Malaysia, apabila ada sahaja komoditi yang melonjak harganya mendadak, para scammer akan muncul di situ dengan mencipta pelbagai jenis pelaburan bagi memancing golongan yang tamak dan bodoh ini. Peluang menjadi lebih besar apabila si bodoh ini tidak tahu langsung apa itu bitcoin dan ini memudahkan mereka memancing mangsa. Justeru, soalan belum dijawab adakah pelaburan bitcoin harus? Jawapannya adakah anda faham dahulu apa itu cryptocurency, kalau tak faham, jangan melabur.

11. Hasil pemerhatian saya dan kajian saya terhadap beberapa artikel dan buku, semua pelaburan yang menawarkan keuntungan melalui bitcoin, atau apa jua cryptocurrency yang ada dunia ini seperti etherium, ripple, litecoin atau monero, semuanya adalah penipuan dan scam. Jangan jadi tamak, kerana otak akan bodoh apabila tamak. Semua pelaburan tersebut tidak bebas daripada unsur gharar, taghrir, ponzi, riba dan segala macam yang haram di atas dunia ini terkumpul pada skim pelaburan berasaskan cryptocurrency.

12. Jika seseorang itu berjaya memiliki bitcoin sendiri, dan berjaya menjualnya, wang itu masih lagi harus.  Tapi jangan percaya kepada skim melombong bitcoin atau seumpamanya, kecuali anda mampu melombong sendiri dengan komputer sendiri.

Blockchain boleh berkembang dan mengubah landskap ekonomi dunia, tapi pelaburan yang menawarkan keuntungan bitocoin, etherium dan lain-lain itu tetap scam, fraud dan ponzi.

Wallahu A'lam.

Ulasan ringkas oleh:
Ahmad Sufyan Che Abdullah
muamalat.my

Catatan popular daripada blog ini

506,000 Orang Rakyat Malaysia Menganggur Pada Februari 2016

Pelan IkhlasLink Secure Takaful

Dia