Tersilap Labur, Lebur Berjuta RM

SEKIRANYA ada duit, dan ingin membiakkan – orang dulu-dulu kata ‘memberanakkan’ – duit anda, cara paling baik ialah menerusi pelaburan.

Atau, jika tidak mahu melabur, simpan sahaja duit anda dalam mana-mana bank atau institusi kewangan yang ada faedah, atau orang dulu-dulu sebut ‘bunga’.

Teringat saya orang kampung dulu-dulu tidak tahu melabur, tidak suka pula menyimpan duit di bank @ simpanan Pejabat Pos, sebab mereka takut makan ‘bunga’. Berdosa.



Mereka menyimpan duit syiling dalam tabung ayam atau tabung buluh. Apabila sudah penuh, tabung akan dipecahkan, tukar duit sen-sen kepada duit kertas, dan disimpan pula dalam bantal atau bawah tilam.


Sama ada dalam tabung buluh atau di bawah tilam, simpan kaedah kuno ini tidak akan memberanakkan duit. Tetapi mereka yakin duit lebih selamat sebab sentiasa bersama mereka pagi-petang, siang-malam.

Memang ada risiko: maling masuk rumah dan larikan tabung buluh yang biasanya diikat atau dipaku pada tiang seri di tengah rumah. Lebih teruk lagi sekiranya rumah terbakar dan bantal, tilam serta isi-isinya semua menjadi abu.

Seyogia diingat baik cara kuno mahu pun cara moden, risiko sentiasa ada sekiranya menyimpan atau melabur secara semberono. Malah, telah terbukti menyimpan atau melabur menggunakan kaedah tercanggih lebih tinggi risiko.

Duit dalam bantal atau bawah tilam paling banyak pun RM10,000. Itulah yang akan menjadi abu sekiranya terjadi kebakaran. Tetapi, menerusi pelaburan tercanggih online, duit boleh lesap RM juta-juta sekelip mata.

Seperti yang terbongkar dalam sindiket pelaburan JJ Poor To Rich (JJPTR) di mana pihak berkuasa mengesahkan para pelabur telah kerugian RM juta-juta.

Laporan akhbar menyebut serbuan ke atas beberapa premis syarikat pelaburan haram itu di Pulau Pinang telah mengesan sindiket perniagaan Forex yang mengutip wang pelaburan sebanyak RM1.7 bilion.

Sebanyak 19 orang telah ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bersama Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla), Bank Negara Malaysia (BNM), Pasukan Penguat Kuasa Pemulihan Hasil Negara (NRRET), dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Cybersecurity Malaysia (Cybersecurity).

Beribu-ribu mangsa kini menangis sebab duit mereka tidak beranak, dan lesap begitu sahaja. Mereka dijanjikan laba pelaburan 20 peratus setiap bulan, tetapi setelah sabar menunggu, usahkan untung 20 peratus, satu sen pun tidak dapat.

Maka fikir punya fikir orang kampung saya yang dianggap kuno 60 tahun dulu sebenarnya lebih bijak daripada orang sekarang yang ada duit RM juta-juta tetapi masih tertipu dengan janji manis sindiket pelaburan haram.

Seperti yang selalu diuar-uarkan, melabur dan menyimpan memang langkah bijak, ‘cerah masa depan’. Tetapi mesti melabur atau menabung secara betul, menerusi agensi dan syarikat-syarikat pelaburan yang sah.

Semua orang tahu ada sekian banyak badan pelaburan yang diiktiraf oleh kerajaan. Syarikat-syarikat berlesen yang telah lama wujud ini menawarkan faedah dan dividen setiap tahun, mengikut kadar-kadar tertentu.

Tetapi biasalah orang kita yang berduit – dan tamak – tidak tertarik untuk melabur dalam syarikat dan agensi yang sah. Mereka lebih suka melabur secara gelap, sebab dijanjikan pulangan pelaburan yang amat lumayan.

Siapa tidak tergoda dengan tawaran keuntungan 20 peratus setiap bulan. Kalau labur RM1,000 setiap bulan akan menerima RM200; dalam masa lima bulan duit sudah beranak sama macam modal. Itu yang membuat orang tidak berfikir panjang untuk melabur.

Akibatnya, seperti yang kita baca hampir setiap hari, ada sahaja orang menangis sebab tertipu sindiket pelaburan.

Ada yang bergolok-gadai untuk mendapatkan modal pelaburan. Ada yang menjual harta untuk dilabur.

Apabila yang dilabur semua disonglap penyangak, barulah menangis tanpa lagu, bercakap seorang diri, hantuk-hantuk kepala pada tembok. Malah, mungkin ada yang membunuh diri!

Semua ini bukan cerita baru. Kita telah mendengar – mungkin mengalami sendiri – penipuan pelaburan cepat kaya ini sejak sekian lama. Beribu-ribu mangsa tertipu. Tetapi beribu-ribu lagi yang merelakan diri untuk terus ditipu!

JJPTR hanyalah satu contoh. Setiap hari di luar sana ada sahaja ejen dan sindiket pelaburan haram yang secara terang-terang mengiklankan tawaran-tawaran pelaburan yang indah-indah. Siapa sahaja boleh menjadi mangsanya.

BNM mengesahkan sebanyak 238 akaun berkaitan skim pelaburan haram telah ditutup oleh institusi perbankan setakat ini dengan 108 daripadanya adalah akaun yang berada dalam senarai Amaran Pengguna Kewangan.

Jangan mudah tergoda dengan janji manis sindiket pelaburan haram. Semak dulu dengan BNM kesahihan syarikat atau agensi sebelum kita melabur.

Kita memang ada banyak akta untuk menyekat kegiatan pelaburan haram. Tetapi sekatan yang paling berkesan bukan menggunakan akta, sebaliknya menggunakan sikap kita sendiri. Jangan terlalu tamak dan haloba.

Hentikan melabur di syarikat-syarikat gelap ini.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

506,000 Orang Rakyat Malaysia Menganggur Pada Februari 2016

Pelan IkhlasLink Secure Takaful

Dia