Islam adalah agama yang bersifat universal dan syumul. Hukum Islam tidak hanya terhad pada persoalan ibadat, hal ehwal perkahwinan atau bila berlaku kematian semata-mata, malah hakikat ibadat menurut pengertian Islam ialah kepatuhan kepada minhaj Allah S.W.T. yang meliputi semua persoalan berkaitan dengan kehidupan manusia termasuklah ibadat, muamalat, munakahat, jenayah, siasah, sosial, ekonomi dan sebagainya yang wajib diuruskan berlandaskan hukum Syarak. Sistem ekonomi Islam amat mementingkan aspek keadilan dan keseimbangan antara kebebasan individu dengan maslahah awam dan soal agama dengan perkara-perkara keduniaan. Prinsip ekonomi dalam Islam tidak hanya bermatlamatkan kebendaan semata-mata tetapi turut bermatlamatkan ibadat yang membolehkan kita mendapat pahala jika diusahakan dengan niat kerana Allah S.W.T. dan berhasrat untuk mendapatkan keredaan-Nya.