Takaful Ikhlas Lancar Tiga Produk Pelaburan Dan Perlindungan Kesihatan Yang Ditambahbaik

Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful Ikhlas) hari ini melancarkan tiga produk pelaburan dan perlindungan kesihatan yang ditambah baik iaitu Ikhlas Capital Investment-Linked Takaful Plus, Ikhlas Premier Investment-Linked Takaful Linked dan Ikhlas 'ChoicePlus' Individual Medical Rider.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Ab Latiff Abu Bakar berkata, untuk ketiga-tiga produk ini, Takaful Ikhlas telah mensasarkan perolehan sumbangan sebanyak RM20 juta setahun.

Menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai produk-produk ini, beliau berkata Ikhlas Capital Investment-Linked Takaful Plus adalah pelan caruman pelaburan tunggal yang menyediakan peluang untuk pelanggan memaksimumkan pulangan pelaburan dan pada masa yang sama, menikmati perlindungan takaful.

"Selain produk Ikhlas Capital Investment-Linked Takaful Plus ini, Takaful Ikhlas juga memasarkan produk Ikhlas Investment-Linked Takaful Plus yang lain iaitu Ikhlas Premier Investment Takaful Plus.

"Produk pelaburan Ikhlas Premier Investment-Linked Takaful Plus ini dilengkapi dengan pelbagai rider dan manfaat. Salah satu daripada rider ini adalah Ikhlas Choice Plus Individual Medical Rider. Kami percaya ketiga-tiga produk ini bakal memenuhi keperluan dan kehendak para pelanggan kami," katanya di sini.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Pejabat Wilayah Takaful Ikhlas Cawangan Seremban di Pusat Bandar Senawang dekat sini oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam dan Alam Sekitar negeri Abu Ubaidah Redza. Turut hadir ialah Pengerusi Takaful Ikhlas Sharkawi Alis.

Katanya, Ikhlas 'ChoicePlus' Individual Medical Rider pula menawarkan tiga pilihan pelan berdasarkan jumlah caruman dan pelindungan yang berbeza iaitu Platinum, Gold dan Silver. Ketiga-tiga pelan ini dicipta mengikut kemampuan pelanggan.

Sementara itu, Sharkawi berkata Takaful Ikhlas telah mendapat perolehan sumbangan mencecah hampir RM750 juta bagi tahun 2012/2013.

"Jumlah ini menunjukkan bahawa kita telah menguasai hampir 14 peratus pasaran takaful negara dan menduduki tempat ketiga di antara 12 syarikat takaful yang beroperasi di negara ini.

"Memandangkan pasaran takaful di negara ini merupakan pasaran yang kedua terbesar di dunia di belakang Arab Saudi, kejayaan Takaful Ikhlas yang dicapai dalam masa yang begitu singkat iaitu dalam hanya 10 tahun adalah amat membanggakan. Kini, Takaful Ikhlas mempunyai lebih 1.8 juta pemegang sijil (polisi) berdaftar dan juga lebih 5,000 orang ejen," katanya.

Sharkawi berkata perolehan sumbangan dari Negeri Sembilan kini telah mencapai melebihi RM6.8 juta bagi tahun kewangan berakhir Mac 2013.

"Dengan kepesatan pembangunan di Negeri Sembilan ini, kami yakin untuk mensasarkan peningkatan sebanyak dua kali ganda bagi tahun hadapan.

Mengenai pembukaan pejabat wilayah ke-12 ini, beliau berkata ia merupakan pendekatan yang diambil oleh syarikat dalam usaha meningkatkan perkhidmatan Takaful Ikhlas kepada para pelanggan serta ejennya.

"Pembukaan pejabat wilayah Seremban ini merupakan salah satu inisiatif syarikat bagi memenuhi permintaan pasaran yang kian meningkat dan konsisten di negeri ini. Kepesatan pembangunan di Negeri Sembilan telah menunjukkan potensi perniagaan yang amat memberangsangkan bagi Takaful Ikhlas," katanya.

Pada majlis itu, Takaful Ikhlas memberikan peruntukan lebih RM80,000 untuk membiayai empat program tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu bantuan sara hidup kepada dua keluarga yang memerlukan, projek bekalan air beralkali kepada lima buah sekolah Ma'ahad Tahfiz di Negeri Sembilan, pembinaan perpustakaan di Ma'ahad Tahfiz Al-Quran An-Najihah di Nilai dan sumbangan zakat kepada dua buah pertubuhan kebajikan anak-anak yatim. - BERNAMA 05 Julai 2013


#Ikhlas2u ‎#TakafulIkhlas ‎#ChoicePlus ‎#InvestmentLinkedTakaful

Catatan popular daripada blog ini

506,000 Orang Rakyat Malaysia Menganggur Pada Februari 2016

Dia

Pelan IkhlasLink Secure Takaful