Takaful Ikhlas Sasar Capai 14 Peratus Penguasaan Pasaran Tahun Ini

Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful Ikhlas), unit kepada MNRB Holdings Bhd, berhasrat menguasai 14 peratus kepentingan pasaran menjelang akhir tahun, meningkat daripada 12 peratus tahun lepas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ab Latiff Abu Bakar berkata Takaful Ikhlas bercadang mengukuhkan lagi program-programnya dalam usaha mencapai penguasaan pasaran yang disasarkan itu.

"Kami cuba menempatkan prospektif yang betul dari segi strategi dan banyak lagi," kata beliau kepada Bernama.


Ab Latiff berkata Takaful Ikhlas sedang membangunkan pelan tindakan tiga tahun untuk mengukuhkan lagi penguasaan pasarannya.

Ia bercadang memberi tumpuan yang lebih kepada perniagaan agensi yang akan tertumpu kepada produk yang sesuai dengan keperluan pasaran.

"Kami berharap dengan meningkatnya penguasaan pasaran kami, ia akan menjuruskan kepada keputusan kewangan yang lebih baik dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2014," kata Ab Latiff.

Beliau turut menerangkan yang Takaful Ikhlas akan meningkatkan lagi sumbangan tahun kewangan perniagaan baharunya dalam usaha menjadi di kalangan dua peserta insurans terkemuka.

Ditanya sama ada industri insurans terjejas oleh situasi ekonomi pada masa ini, Ab Latiff berkata "ia tidak terjejas kerana orang ramai kini lebih prihatin kepada perancangan perlindungan dan kewangan".

"Pada kebiasaannya, apabila ekonomi tidak berapa kukuh, kebanyakan orang akan memilih insurans sebagai keutamaan mereka, mendapat perlindungan yang secukupnya andai berlaku sesuatu yang tidak diingini," kata beliau.

Takaful Ikhlas juga yakin mencapai jualan RM2 juta tahun ini berbanding RM1.5 juta tahun lepas, dibantu oleh pelantikan lebih banyak ejen dan strategi pemasaran yang lebih baik.

Takaful Ikhlas mempunyai lebih 1.8 juta pemegang polisi berdaftar dan 5,000 ejen dan mensasarkan RM10 juta pendapatan premium dalam tempoh lima tahun ini.

-- BERNAMA 25 Ogos 2013 #Ikhlas2u #TakafulIkhlas

Catatan popular daripada blog ini

506,000 Orang Rakyat Malaysia Menganggur Pada Februari 2016

Dia

Pelan IkhlasLink Secure Takaful