Pertumbuhan Sektor Takaful 2014 Dijangka Stabil

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Sdn Bhd Ab Latiff Abu Bakar berkata industri takaful dijangka mengakhiri 2013 dengan pertumbuhan kukuh sebanyak kira-kira 20 peratus.

Beliau berkata berdasarkan laporan Ernst & Young, Malaysia muncul sebagai pasaran takaful keluarga terbesar dan dijangka terus menerajui industri takaful Asean, dengan menguasai 70 peratus daripada sumbangan takaful kasar.

"Aset industri takaful dijangka berkembang lebih daripada 10 peratus, dengan industri insurans berkembang lebih lima peratus," kata Ab Latiff.

Mengenai peristiwa penting pada 2013, Ab Latiff berkata pelaksanaan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 bakal menyaksikan syarikat takaful dan syarikat insurans komposit melepaskan lesen komposit mereka, memisahkan perniagaan am dan keluarga dalam entiti berbeza berikutan mereka diberi lima tahun untuk mematuhi syarat itu.

"Perkembangan lain termasuk satu rangka kerja baharu yang bertujuan menyokong pertumbuhan dan pembangunan industri takaful insurans hayat dan keluarga dalam jangka panjang dan pada masa yang sama menyediakan persekitaran yang kondusif untuk penembusan yang lebih besar serta melindungi kepentingan pengguna," katanya.

Ab Latiff berkata salah satu cabaran terbesar bagi semua pengendali takaful Malaysia ialah salah tanggapan bahawa takaful hanya untuk orang Islam.

"Kami berusaha mendidik umat Islam dan bukan Islam terhadap produk dan perkhidmatan takaful, dan bagaimana produk-produk ini boleh memberi manfaat kepada mereka.

"Malah, produk dan perkhidmatan takaful boleh menjadi alternatif yang berdaya maju kepada pasaran konvensional. Sebagai contoh, lapan peratus daripada pemegang polisi Takaful Ikhlas terdiri daripada bukan Islam dan menerusi usaha ini kami harap dapat meningkatkan pembabitan pelanggan bukan Islam," katanya.
- Dipetik melalui Bernama Online

Catatan popular daripada blog ini

506,000 Orang Rakyat Malaysia Menganggur Pada Februari 2016

Dia

Pelan IkhlasLink Secure Takaful