Antara 'Selesa' dan 'Miskin', Pilihan Bersara

POLEMIK sukarnya kehidupan selepas bersara, antaranya dikaitkan dengan kegagalan individu mengklasifikasikan akan kepentingan keperluan dan kehendak.
 
Akibatnya, mereka tidak menyedari kepentingan dana persaraan awal sepertimana yang dikupaskan dalam rencana siri akhir ini.
 
Soal mampu atau tidak, diletakkan ke tepi dan bukan menjadi perkara keutamaan. Yang penting, semuanya mesti mengikut perkembangan fesyen semasa.
 
Jenama terkenal melengkapi penampilan diri, daripada hujung rambut sehinggalah ke hujung kaki kerana kalau tidak, ia boleh dikatakan menjejaskan reputasi individu itu.
 
Kepelbagaian gajet terkini pula menjadi pendamping setia, kereta idaman ramai ataupun buatan luar negara menjadi pilihan, biarpun terpaksa mengikat perut kerana perlu membayar pelbagai ansuran pinjaman.

Bagi golongan ini, kehidupan berkonsepkan 'biar papa asal bergaya' menjadi corak hidup segelintir anak muda hari ini sehingga sanggup berhutang semata-mata menginginkan kehidupan mewah, walaupun hakikatnya gaji di luar kemampuan.
 
Gaya hidup tidak sihat ini bukan sahaja membimbangkan malah menyebabkan mereka tidak mengambil berat akan kepentingan menabung sebagai persediaan dana hari persaraan.
 
Satu isu yang harus dipandang serius mengenai persediaan ini, apabila golongan muda dikenalpasti antara yang diisytiharkan muflis akibat daripada keborosan dalam perbelanjaan.

MASIH JAUH
 
Merujuk data Jabatan Insolvensi Malaysia, 23,397 individu yang diisytiharkan muflis sepanjang tahun 2007 sehingga September 2013 adalah dalam lingkungan umur 25 hingga 34 tahun.
 
Lebih membimbangkan, apabila ada antara mereka yang belum lagi genap menggapai usia 25 tahun, tetapi telah berada dalam kemelut kebankrapan.
 
Biarpun jumlahnya hanyalah 1,322 individu, namun polemik kebimbangan ini harus diambil perhatian sewajarnya kerana ia boleh merencatkan urusan tabungan persediaan hari tua.
 
Satu kajian oleh Fellow Penyelidik, Institut Gerontologi, Universiti Putra Malaysia Dr Jariah Masud, mendapati segelintir generasi muda hari ini lebih tertumpu kepada perbelanjaan semasa tanpa mengambil peduli perancangan masa hadapan.
 
Bagi mereka, perihal persaraan mungkin tidak menjadi aspek keutamaan kerana yang penting adalah tumpuan peningkatan kerjaya, komitmen selepas kahwin, membeli rumah dan seumpamanya.
 
"Generasi hari ini lebih memikirkan 'consuming', dan mereka ini adalah 'consuming society' kerana lebih mementingkan gaya hidup mewah. Cara mereka menilai 'wang' pun berbeza dengan generasi terdahulu.
 
"Mereka yang segenerasi saya, melihat nilai wang lebih kepada simpanan manakala segelintir orang muda hari ini tertumpu perbelanjaan semasa," katanya kepada Bernama.
 
Kajian 'AXA Retirement Scope 2010' oleh AXA Group mendapati 38 peratus pekerja Malaysia yang mula merancang persaraan, kebanyakannya menabung pada usia hampir 40 tahun.
 
Kajian persaraan dunia ini yang dijalankan di 26 negara meliputi Eropah, Amerika Syarikat dan Asia mendapati 46 peratus hanya bersedia untuk menabung persaraan apabila usia mencecah 50 tahun.
 
Keadaan ini membimbangkan, kerana tanpa mereka sedari dunia persaraan semakin hampir dan kegagalan menabung saat awal menyebabkan kedudukan kewangan menjadi tidak stabil dan mengundang pelbagai masalah kepada pesara.
 
Bertambah parah, sekiranya tidak menerima pencen, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) habis digunakan, sehingga memaksa mereka untuk bekerja balik.
   
HARAPAN HANYA KWSP
 
Pengaruh gaya hidup tidak sihat ini ada kemungkinan besar berpunca daripada persepsi pekerja mengenai simpanan persaraan KWSP.
 
Mereka berpendapat wang simpanan di KWSP sudah mencukupi untuk menampung keperluan diri dan keluarga selepas bersara tanpa adanya keperluan mempelbagaikan sumber tabungan lain.
 
Ketua Seksyen Penyelidikan Persaraan, Jabatan Operasi Strategik, KWSP, Farizan Kamaluddin berkata kebanyakan pencarum bergantung harap kepada simpanan KWSP, hasil daripada pengamatan sepanjang mengadakan taklimat.
 
Daripada 13 juta pencarum KWSP, kajian mendapati hanya 7.37 peratus mempunyai baki simpanan lebih RM150,000 pada umur persaraan 55 tahun manakala 70.89 peratus dengan kurang RM50,000.
 
"(Simpanan rendah) tidak dapat dielakkan kerana simpanan KWSP ini bergantung kepada caruman pekerja. Kalau gaji mereka rendah, caruman pun rendah," katanya.
 
Sejak KWSP ditubuhkan pada 1951, umur pengeluaran kesemua simpanan kekal pada umur 55 tahun walaupun umur persaraan dipanjangkan ke 60 tahun dan jangka hayat penduduk yang kini meningkat kepada 75 tahun.
 
TIDAK CUKUP
 
Mengambil kira faktor kos hidup yang semakin meningkat, jangka hayat rakyat Malaysia yang panjang, gaji rendah dan bersara awal pada umur 55 tahun, Farizan berkata simpanan KWSP tidak mencukupi dan habis dalam tempoh singkat.
 
Dan didapati, 50 peratus pesara menghabiskan simpanan KWSP dalam tempoh lima tahun sehingga menyebabkan mereka terpaksa bekerja balik.
 
"Faktor yang menyebabkan wang caruman KWSP habis cepat kerana mereka gagal merancang dan menggunakan duit itu untuk memenuhi cita-cita dan bukannya sebagai penggantian pendapatan," jelasnya.
 
Justeru, mereka seharusnya mempelbagaikan simpanan serta berhemah ketika membuat pengeluaran awal sebelum persaraan yang disediakan KWSP seperti pengeluaran rumah, pendidikan dan kesihatan sekiranya ingin bersara selesa.
 
"Sekiranya mereka mempunyai sumber lain, simpanan KWSP harus dijadikan pilihan terakhir," katanya.
 
Farizan berkata, KWSP juga menetapkan kuantum baharu Simpanan Asas iaitu sebanyak RM196,800 sebagai amaun minimum ahli yang perlu ada dalam akaun KWSP mereka menjelang umur 55 tahun berkuatkuasa Januari lepas bagi menjamin persaraan mampan.
 
Bagi mengelakkan wang caruman KWSP habis dalam masa singkat, KWSP memperkenalkan pengeluaran umur 55 tahun yang lebih fleksibel yang mana ahli boleh memilih bayaran pengeluaran sama ada secara sekali gus, bulanan, sebahagian atau gabungan.
 
PELAKSANAAN GAJI MINIMUM
 
Walaupun pekerja kerajaan mungkin merasa lebih terjamin berikutan adanya pencen, ia juga sebenarnya akan mengundang masalah sekiranya memilih gaya hidup mewah dan tidak merancang untuk persediaan persaraan.
 
Pengarah Institut Gerontologi, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Tengku Aizan Hamid berkata mereka harus sedar dari awal mengenai kejatuhan pendapatan selepas bersara nanti.
 
"Gaya hidup yang kita amalkan akan terbawa-bawa sehingga usia tua. Adakah anda sanggup untuk mengubah gaya hidup apabila pencen diterima berkurangan daripada pendapatan sebelum ini?
 
"Ada kes yang mana pesara gagal melunaskan hutang kad kreditnya sehingga terpaksa ditanggung anak kerana ingin mengekalkan gaya hidup mewah," katanya.
 
Adalah sebaiknya, perancangan persediaan bermula sejak kecil kerana simpanan awal itu akan membantu pesara menjalani kehidupan selesa dan tenang.
 
Kerajaan, dalam membantu meningkatkan simpanan KWSP pekerja telah melaksanakan gaji minimum yang dikuatkuasakan sepenuhnya pada 1 Januari lepas serta perlanjutan umur persaraan ke 60 tahun.
 
Kerajaan juga menubuhkan Skim Persaraan 1Malaysia (SP1M) bagi yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap untuk mencarum sukarela di KWSP serta menggalakkan golongan muda membuat pelaburan jangka panjang melalui Skim Persaraan Swasta (PRS).
 
Pendek kata, persediaan perancangan awal terletak di tangan anda sendiri sama ada memilih bersara selesa ataupun sebaliknya.
 
Kata orang, "sekiranya anda miskin tetapi muda, itu tidak menjadi masalah kerana boleh bekerja. Tetapi, apabila anda tua dan mungkin menghadapi masalah kesihatan serta tidak mampu bekerja, maka dana persaraan awal adalah 'payung' amat berharga".

Catatan popular daripada blog ini

506,000 Orang Rakyat Malaysia Menganggur Pada Februari 2016

Dia

Pelan IkhlasLink Secure Takaful