Takaful Ikhlas Percaya Sumbangan Kasar Atasi RM747 Juta

Takaful Ikhlas Sdn Bhd percaya sumbangan kasar bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014 (FY14) akan mengatasi RM747 juta pada FY13, didorong pelaksanaan projek semasa dan dalam perancangan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ab Latiff Abu Bakar berkata sumbangan FY13 dibantu permintaan yang semakin meningkat ke atas produk insurans keluarga serta insurans am.

Produk insurans keluarga terdiri daripada insurans am, perubatan dan polisi berkaitan pelaburan manakala produk am termasuk pemotoran, kebakaran, marin dan penerbangan.

Takaful Ikhlas ialah insurans Islam cabang MNRB Holdings Bhd, yang kini menguasai 12 peratus pasaran, berdasarkan sumbangan kasar.

"Kami akan mengumumkan produk baharu pada suku kedua tahun kewangan baharu, yang merupakan sebahagian daripada pertumbuhan perniagaan kami, dan kami percaya ia akan menambahkan kentungan syarikat," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada penyampaian Anugerah Kewangan Islam Euromoney 2014 Takaful Ikhlas di sini Jumaat.

Bagi FY14, Ab Latiff berkata Takaful Ikhlas sedang mengenal pasti usaha untuk mengukuhkan saluran pengedarannya seperti pemasaran terus dan telepemasaran, selain melengkapkan saluran pengedaran dengan peralatan yang tepat menerusi teknologi, dan membangunkan produk yang sesuai untuk menampung sasaran pasaran," katanya.

Mengenai saingan, Ab Latiff berkata walaupun terdapat 11 peserta takaful sedia ada dalam negara, syarikat melihatnya sebagai saingan yang sihat.

"Persaingan lebih hebat tahun ini, dan oleh itu kami perlu mencari strategi dan inisiatif yang tepat untuk membolehkan kami meluaskan perniagaan dan mewujudkan kesedaran ke atas produk takaful," katanya.

Takaful Ikhlas dipilih sebagai firma 'Takaful Terbaik' pada anugerah Kewangan Islam 2014 oleh majalah kewangan antarabangsa Euromoney.

Ketua Serantau, Asia, Marcus H. Langston, berkata Takaful Malaysia sudah membuktikan profesionalismenya memandangkan ia sudah memenangi anugerah buat tahun keempat berturut-turut.

"Kami mendapati ia kini melakukan inisiatif baharu dengan membawa kewangan Islam dan idea ke pasaran Malaysia.

"Walaupun dari segi saiz, Arab Saudi merupakan pasaran terbesar produk takaful, saya percaya pertumbuhan dan inovasi industri datang dari Malaysia," katanya.

Takaful Ikhlas kini mempunyai lebih 1.8 juta pemegang polisi berdaftar dengan lebih 5,000 ejen.

Catatan popular daripada blog ini

506,000 Orang Rakyat Malaysia Menganggur Pada Februari 2016

Dia

Pelan IkhlasLink Secure Takaful