Takaful Ikhlas Dapat Sambutan Bukan Islam

Sejak penubuhannya 10 tahun lalu, Takaful Ikhlas Sdn Bhd bukan sahaja mampu menarik kira-kira dua juta pemegang polisi berdaftar, malah lebih membanggakan apabila 180,000 daripada jumlah itu terdiri daripada pelanggan bukan Islam.

Pengerusinya Sharkawi Alis berkata ini membuktikan produk syarikat itu berjaya menambat hati pelanggan bukan Islam yang yakin akan kualiti dan kelebihan yang tidak terdapat pada syarikat lain.

"Mereka bersama kami kerana produk itu bagus. Kita ibarat jual barang dan mereka beli barang itu kerana ia sememangnya bagus. Takaful ini bukan untuk orang Islam sahaja, dan mesej yang mahu kita sampaikan ialah ia juga turut menarik minat bukan Islam.


"Mereka (bukan Islam) menilai produk dari segi manfaatnya. Dia perlu nilai, pertama bagus atau tidak bagus. Empat tahun lepas hanya 120,000 pelanggan bukan Islam yang menyertainya, dan kini seramai 180,000 orang, dan kita yakin ini mampu menarik lebih ramai lagi pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Premis Baharu Pejabat Wilayah Negeri Kelantan, di sini Sabtu.

Beliau berkata selepas sembilan bulan pertama syarikat itu ditubuhkan, ia berjaya mencatat perolehan sumbangan sebanyak RM6.6 juta pada akhir tahun kewangan pertama pada 31 Mac 2004.

"Kini, Takaful Ikhlas mencatat perolehan sumbangan kasar sebanyak RM747 juta bagi tahun kewangan berakhir Mac 2013. Angka ini menunjukkan lonjakan lebih daripada 100 kali ganda dalam tempoh hanya 10 tahun sejak Takaful Ikhlas mula beroperasi," katanya.

Sharkawi berkata syarikat itu kini berjaya menguasai 11 peratus daripada keseluruhan pasaran takaful negara.

Katanya syarikat itu juga berjaya mendapat pengiktirafan luar negara, termasuk Anugerah Produk Takaful Terbaik pada Sidang Kemuncak Takaful Antarabangsa 2010 bagi produk Ikhlas Medic Assist Takaful, dan produk yang sama juga memperoleh Anugerah Produk Paling Inovatif oleh Forum Kewangan Islam 2008.

Beliau berkata syarikat itu kini mempunyai 5,000 ejen di seluruh negara.

Bagi memenuhi permintaan pasaran, beliau berkata Takaful Ikhlas kini menyediakan 83 produk yang terdiri daripada produk Takaful Am, Takaful Keluarga dan Takaful Berkelompok.

Sementara itu, syarikat berkenaan akan melancarkan satu lagi produk baharunya pada Disember depan, yang dikatakan sebagai produk "menggegarkan" pasaran.

"Saya tidak boleh mengumumkan lagi produk itu ...cukup saya katakan ia sebagai produk yang menggegarkan," katanya.

Menyentuh prestasi di Kelantan, Sharkawi berkata pencapaian sumbangan setakat 28 Feb tahun ini melebihi RM30 juta atau 10 peratus peningkatan dalam tempoh yang sama pada tahun kewangan sebelumnya.

"Bagi tahun kewangan 2014/2015, syarikat itu menyasarkan sumbangan sebanyak RM34.1 juta di Kelantan. Ini merupakan peningkatan 13.5 peratus berbanding tahun sebelumnya," katanya.

Premis baharu itu terletak di PT 483, Jalan Jambatan Sultan Yahya KB Waterfront, Seksyen 17, 15000 Kota Baharu.

Pada majlis itu juga Sharkawi turut menerima 200 rekrut ejen baharu negeri itu melalui Program Keusahawanan Takaful Ikhlas.

Catatan popular daripada blog ini

506,000 Orang Rakyat Malaysia Menganggur Pada Februari 2016

Dia

Pelan IkhlasLink Secure Takaful