Ejen Takaful Janjikan Pendapatan Lumayan

Generasi muda digalak melibatkan diri dalam industri Takaful kerana ia menjanjikan pendapatan lumayan serta masa depan yang cerah.

Pengurus Agensi Usrah Associates Group, anak syarikat Takaful Ikhlas Bhd, Samian Senin berkata, dengan menjadi ejen Takaful, seseorang itu boleh memperoleh pendapatan sehingga RM1 juta setahun selepas 10 tahun berada dalam industri berkenaan.

"Kami memperoleh RM2.4 juta sebagai sumbangan kumpulan tahun lalu dan mencatat pertumbuhan 15 peratus tahun ke tahun.

"Ia dianggap sumbangan yang progresif, berperingkat dan konsisten, walaupun ada pihak percaya industri Takaful agak lembab.
"Tetapi jika anda mahu kaya dengan cepat, industri ini mungkin bukan untuk anda kerana peningkatan pendapatan berlaku secara beransur-ansur. Saya sangat bernasib baik kerana menjadi seorang daripada beberapa ejen perintis Takaful," katanya kepada media di sini, baru-baru ini.

Samian berkata, selagi ada kanak-kanak dilahirkan dan penduduk meninggal dunia di negara ini, perniagaan dalam industri Takaful akan terus wujud.

Menurutnya, graduan baru boleh memperoleh pendapatan kira-kira RM1,800 sebulan dan RM3,000 selepas setahun.

Beliau adalah antara ejen Takaful Ikhlas berprestasi tinggi yang akan diraikan pada Malam Anugerah Ejen Takaful Ikhlas Ke-10 di sini, 9 Ogos ini.

Seorang lagi ejen berprestasi tinggi, Zarini Shah Budin berkata, orang ramai terutama generasi muda perlu menghapuskan tanggapan yang ejen Takaful tidak memberikan pendapatan stabil.

"Mendapatkan pelanggan untuk produk Takaful setiap bulan boleh dicapai jika seseorang itu sanggup berusaha keras mencari mereka. Ini akan memberikan pendapatan lumayan kepada mereka," katanya.

Zarini adalah penerima Anugerah Sumbangan Tertinggi Untuk Ejen Baharu.

Sementara itu, penerima Anugerah Sumbangan Tertinggi untuk Kategori Pengurus Agensi Am, Syafimazly Shafiee berkata, di samping pendapatan stabil, ia turut membantu ejen mempertingkat kemahiran komunikasi mereka.

"Sebagai contoh, kemahiran perhubungan awam mereka di kalangan warga Malaysia akan dipertingkat kerana mereka menemui pelanggan berpotensi berbeza setiap hari," katanya.

Malam Anugerah Ejen Takaful Ikhlas dianjurkan untuk memberi pengiktirafan kepada ejen yang mencapai matlamat dan sasaran untuk tahun kewangan 2013-2014.

Ia akan dihadiri lebih 700 ejen Takaful Ikhlas dari seluruh negara. Ejen terbabit juga akan menerima anugerah prestasi untuk pelbagai kategori perniagaan.

O6 Ogos 2014 - The Rakyat News

Catatan popular daripada blog ini

506,000 Orang Rakyat Malaysia Menganggur Pada Februari 2016

Dia

Pelan IkhlasLink Secure Takaful