Mampu Raih Pendapatan Lumayan

Kerjaya sebagai ejen takaful berpotensi menawarkan pendapatan lumayan sehingga mencecah tujuh angka setahun.

Perancang Kewangan Islam Usrah Associates, Samian Senin, berkata industri takaful pada hari ini memiliki prospek kerjaya cerah serta konsisten selagi ia dilakukan secara serius dan komited untuk tempoh jangka panjang.

Katanya, berdasarkan pengalaman melatih ejen takaful baharu daripada kalangan graduan lepasan ijazah, seorang ejen mampu meraih pendapatan bulanan RM1,800 hanya dalam tempoh enam bulan, sekiranya mereka komited mengikuti sistem disediakan.

“Ejen insurans atau takaful kini berbeza, ia satu kerjaya profesional dan industri takaful ini mampu menaikkan seseorang dengan lebih konsisten berbanding perniagaan yang memiliki terlalu banyak risiko atau jatuh bangunnya.

“Mungkin bagi kita, untuk meraih pendapatan melebihi RM10,000 agak sukar, tapi berdasarkan pengalaman melatih ejen, ia tidak mustahil, bahkan ada dalam kalangan mereka yang sudah mencecah pendapatan RM1 juta sebulan selepas 10 tahun menjadi ejen,” katanya dalam satu temubual di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Samian adalah salah seorang daripada pemenang utama yang bakal dinobatkan pada Majlis Malam Anugerah Ejen Takaful IKHLAS Ke-10 yang akan berlangsung di Majestic Hotel, Kuala Lumpur.

Majlis yang dihadiri lebih 700 wakil ejen Takaful IKHLAS seluruh negara itu dianjurkan untuk mengiktiraf pencapaian ejen paling cemerlang dalam pelbagai kategori perniagaan sepanjang tahun kewangan 2013/2014.
Samian menerima Anugerah Penghasilan Teratas Kategori Pengurus Agensi Kumpulan (Anugerah Takaful Keluarga), Anugerah Penghasilan Unit Langsung Teratas, Anugerah Million Ringgit Agency (MRA), Anugerah Builders Club dan Anugerah MDRT Aspirant.

Dua lagi pemenang utama adalah Syafimazly Shafiee yang memenangi Anugerah Penghasilan Teratas Kategori Pengurus Agensi AM (Anugerah Takaful Keluarga) Anugerah penghasilan unit langsung teratas dan Builders Club; dan Zarini Shah Budin bagi Anugerah Penghasilan Teratas Kategori Ejen Baru (Anugerah Takaful Keluarga) Anugerah MDRT Aspirant GOLD.

Graduan kurang dapat galakan

Sementara itu, Syafimazly berkata, walaupun kerjaya itu menawarkan pendapatan lumayan, kebanyakan keluarga kurang memberikan galakan kepada graduan, bahkan terdapat juga ibu bapa yang menghalang anak mereka menceburi industri takaful.

Katanya, kebiasaannya ejen baharu sukar meyakinkan ibu bapanya yang tidak memahami potensi besar industri takaful kerana sering dianggap sebagai kerjaya tidak tetap dan mensia-siakan kelulusan yang dimilikinya.

“Sesiapa pun boleh jadi ejen yang bagus kerana ini adalah industri perkhidmatan. Tidak kira apa juga bidang akademik atau graduan baharu, yang penting adalah ketetapan minda dan keperibadian kerana kemahiran boleh dilatih kemudian,” katanya.

Mengulas lanjut, Zarini berkata, prospek Takaful IKHLAS yang mudah diterima semua kaum banyak membantu beliau dalam kerjaya sebagai ejen, walaupun baru setahun menyertai industri takaful.

Katanya, produk Takaful IKHLAS kini mendapat sambutan daripada pengguna yang meyakini produk berasaskan syariah.

“Saya baru setahun sebagai ejen dan Alhamdulillah saya sudah berjaya meraih prestasi ini. Lebih-lebih lagi di Kelantan, penerimaan pengguna kepada produk takaful sangat baik termasuk bagi pengguna bukan beragama Islam yang memahami manfaat produk berasaskan syariah,” katanya. 

Catatan popular daripada blog ini

506,000 Orang Rakyat Malaysia Menganggur Pada Februari 2016

Dia

Pelan IkhlasLink Secure Takaful