Berdakwah Dalam Medan Kewangan Islam

Islam adalah satu-satunya agama yang syumul meliputi segenap aspek kehidupan manusia. Kehebatan Islam sebagai suatu cara hidup manusia berbanding ajaran agama-agama lain boleh dilihat melalui perjalanan hidup sirah Nabi Muhammad SAW sebagai suri tauladan ummah. Sirah Rasullullah SAW kerapkali menceritakan bagaimana Baginda berdakwah melalui akhlak ketika bermuamalat atau berniaga. Kesyumulan Islam boleh dilihat melalui perkembangan industri kewangan Islam pada masa kini.
 
Berkembangnya industri kewangan Islam secara tidak langsung membuka lembaran medan dakwah yang terbaharu. Umat Islam seharusnya mengambil peluang ini menyampaikan mesej-mesej dakwahmempromosikan kewangan Islam sebagai suatu agenda transformasi kepada suatu sistem muamalat yang diredhai Allah SWT.
Peluang dakwah dalam kewangan Islam
 
Tidak dinafikan bahawa kejayaan yang dikecapi melalui kemajuan industri kewangan Islam telah menarik minat pakar-pakar ekonomi dan kewangan dunia mendekati Islam. Tidak hairan juga terdapat beberapa Paderi Kristian di Vatican yang turut bersetuju dan berani menyatakan bahawa Kewangan Islam sebagai penyelesaian kepada krisis ekonomi dunia. Kejadian-kejadian ini secara tidak langsung menjelaskan kepada manusia bahawa sehebat mana pun sistem ciptaan akal manusia yang dangkal, tidak boleh menandingi sistem ekonomi yang diformulakan oleh Allah SWT sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi. Persoalannya adakah manusia menyedari bahawa ini petanda ciptaan Allah SWT?
 
Allah SWT  menjelaskan dalam surah al-An’aam, ayat 46, maksudnya: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Bagaimana fikiran kamu, jika Allah melenyapkan pendengaran serta penglihatan kamu, dan ia pula memeteraikan atas hati kamu? siapakah Tuhan selain Allah Yang berkuasa mengembalikannya kepada kamu?" lihatlah Bagaimana Kami berulang-ulang menerangkan tanda-tanda kebesaran Kami (dengan berbagai cara), Dalam pada itu, mereka tetap juga berpaling - ingkar.
 
Di sinilah letaknya beban tugas para daie untuk menjelaskan lagi ciptaan-ciptaan Allah melalui sistem muamalat Islam kepada umat manusia. Sekiranya kita amati sistem muamalat Islam ini, kita mendapati beberapa prinsip-prinsip nilai yang menjadi gagasan tunjang kepada sistem ekonomi Islam. Antara prinsip-prinsipnya ialah:
  1. Prinsip kebebasan iaitu kebebasan menggerakkan sistem ekonomi mengikut acuan Allah SWT
  2. Prinsip keadilan iaitu memelihara hak-hak individu yang berkontrak atau berniaga agar tidak berlaku kezaliman
  3. Prinsip ihsan iaitu jujur dan berasa bertanggungjawab setiap akad atau kontrak yang dilakukan diperhatikan oleh Allah SWT
Sistem ekonomi rekaan manusia yang bertuhankan nafsu seperti Kapitalisme, Sosialisme, Komunisme dan Fasisme tidak mengutamakan prinsip-prinsip ini. Seharusnya para daie boleh berkongsi nilai-nilai muamalat Islam ini sesama manusia lain dan diterjemahkan melalui cara perniagaan dan pergaulan. Inilah salah satu cara dakwah bil hal yang ditunjukan oleh Rasullullah SAW ketika Baginda menjalankan perniagaan di Syam sebelum Baginda dilantik menjadi Rasul.
 
Kewujudan institusi-institusi kewangan Islam di Malaysia boleh dijadikan stimulus galakan umat Islam beribadah kepada Allah dengan menjemput mereka membuka akaun-akaun di institusi kewangan Islam. Sekurang-kurangnya tindakan ini secara tidak langsung memberi mesej kepada institusi kewangan konvensional bahawa sistem ini tidak relevan lagi diamalkan di bumi umat Islam. Kejatuhan beberapa syarikat gergasi di AS seperti Lehman Brothers, AIA dan sebagainya cukup membuktikan betapa hinanya sistem ekonomi berteraskan riba.
 
Mutakhir ini, pakar-pakar kewangan bukan Islam mula mengkaji kebaikan sistem kewangan Islam. Tidak hairan juga terdapat di kalangan mereka yang boleh menjelaskan kontrak-kontrak muamalat Islam seperti Mudharabah, Musyarakah, Wadiah, Wakalah, Kafalah dan sebagainya dengan baik sekali. Hal ini kerana mereka meyakini dengan kelebihan kewangan Islam yang mampu mengatasi segala permasalahan ekonomi dunia.
 
Meskipun ilmu muamalat ini terbuka dan tidak menghalang golongan bukan Islam bercakap mengenainya, namun begitu sayangnya sekiranya ilmu ini tidak dikuasai sepenuhnya oleh umat Islam sendiri. Di sinilah juga letaknya peranan daie agar bertanggungjawab mendalami ilmu-ilmu muamalat. Menyampaikan ilmu kerana keimanan adalah tidak sama nilainya dengan menyampaikan ilmu kerana untuk memberi kefahaman semata-mata. Di samping itu, tanggungjawab untuk menuntut dan menyampaikan ilmu muamalat juga menjadi semakin mustahak apabila Saidina Umar pernah suatu ketika memberi amaran kepada peniaga sebagaimana berikut:
 

لا بيع فى سوقنا إلا من قد تفقه فى الدين

        Maksudnya:
        Jangan kamu berjual beli di pasar kami kecuali telah mendalami ilmu/hukum agama tentangnya.
        (Riwayat Tirmidzi)
 
Cabaran daie dalam kewangan Islam
 
Krisis ekonomi yang melanda pada tahun 1998 dan 1999 turut memberi kesan kepada mereka yang menjadi pelanggan produk riba di institusi konvensional. Ketidakmampuan pelanggan untuk membayar hutang bulanan bukanlah menjadi asas utama untuk institusi konvensional ini berlembut hati meringankan beban hutang pelanggan ketika itu. Kadar faedah berpandukan Based Lending Rate (BLR) terus naik tanpa belas ehsan. Bahkan pihak pelanggan terus diberi tekanan dan ugutan lelongan aset mereka sekiranya hutang mereka tidak dapat dilunaskan.
 
Meskipun kejadian ini benar-benar berlaku, ironinya masyarakat khususnya umat Islam pada masa kini masih lagi merasa ‘sedap’ dan mudahnya transaksi Riba di bank-bank konvensional. Ulama’-ulama’ Islam melalui Persidangan Akademi Fiqh OIC mahupun Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan turut melarang keras amalan riba, namun begitu terdapat segelintir umat Islam tidak mengendahkannya. Ada juga pandangan-pandangan nakal yang sinonimkan Riba dengan amalan jual beli. Benarlah firman Allah SWT dalam al-Qur’an bahawa adanya golongan yang menyamai riba dengan jual beli sepertimana Allah jelaskan dalam surah al-Baqarah, ayat 275, mafhumnya: Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.
 
Jumlah bilangan institusi kewangan Islam yang wujud di Malaysia pada masa kini amat membanggakan. Kewujudan institusi-institusi ini mampu memberikan suatu perubahan paradigma kepada umat Islam bahawa memilih perbankan dan kewangan Islam bukanlah suatu pilihan tetapi kewajipan. Namun begitu, apa yang membimbangkan ialah ada di kalangan institusi ini yang tidak serius dan hanya memikirkan kewangan Islam tidak lebih hanya sekadar memenuhi permintaan pasaran sahaja. Akhirnya nama kewangan Islam ini menjadi suatu fitnah untuk mendapatkan pengesahan halal sahaja.
 
Di samping itu, terdapat juga isu-isu operasi muamalat Islam yang masih tidak mencapai kesepakatan dikalangan ulama’-ulama’ antarabangsa. Secara tidak langsung, perkara ini akan memberi stigma negatif khususnya kepada umat Islam yang tidak memahami disiplin keilmuan fiqh. Pandangan ini seharusnya diperbetulkan supaya ulama’ fiqh dan penasihat Syariah tidak menjadi bahan tohmahan masyarakat yang tidak memahami bahawa percanggahan pendapat dalam ilmu fiqh adalah suatu keterbukaan dan rahmat.
 
Isu-isu ini menjadi suatu cabaran kepada para daie untuk menyatakan hakikat sebenar muamalat Islam di mata masyarakat. Pastinya ada suara-suara sumbang yang akan menjadikan contoh-contoh negatif ini sebagai dalil bertujuan menghina kaedah muamalat dan kewangan Islam yang murni ini. Wujudnya isu-isu ini bukanlah melemahkan para daie menyampaikan risalah Allah melalui muamalat Islam, tetapi hikmahnya memberi kekuatan pengukuhan ekonomi Islam untuk berdiri teguh dalam sistem ekonomi semasa.
 
Kesimpulannya, menyampaikan mesej dakwah dengan mempromosikan muamalat Islam merupakan suatu medan dakwah yang baharu. Persediaan menimba ilmu di kalangan para daie amatlah perlu agar segala hujah yang disampaikan mampu mencairkan hati-hati individu yang telah keras mengagumi sistem konvensional. Semoga cita-cita membangunkan suatu ekonomi yang sepenuhnya bertunjangkan Islam akan tercapai.

Catatan popular daripada blog ini

506,000 Orang Rakyat Malaysia Menganggur Pada Februari 2016

Dia

Pelan IkhlasLink Secure Takaful