Perbankan Halal Kurang Disedari?

STATUS halal memang dititikberatkan umat Islam terutama jika melibatkan soal makanan dan minuman.

Namun, apabila bercakap mengenai kewangan dan institusi perbankan, pernahkah anda terfikir bagaimana hendak mengetahui sistem yang digunakan perbankan itu benar-benar halal dan mengikut syariat Islam?

Ketua Pegawai Eksekutif Sedania As Salam Capital Sdn Bhd (As Salam Capital), Halim M Dzin berkata, perbankan Islam yang benar-benar halal akan menggunakan konsep Tawarruq dalam kemudahan pembiayaannya.

“Konsep Tawarruq ini memerlukan komoditi sebagai satu sandaran aset jual belinya ketika membuat pinjaman. Contohnya, si A mahu membeli kereta dan tiada duit. Jadi dia buat pinjaman daripada bank.

“Bank membelikan kereta pada harga RM30,000 dan si A diminta membayar semula RM40,000 dalam tempoh lima tahun secara ansuran setiap bulan. Dalam kes ini, komoditinya adalah kereta. Si A bayar lebih RM10,000 sebab ia dikira sebagai keuntungan kepada bank yang membelikan kereta itu bagi pihak peminjam. Ia bukan faedah pinjaman seperti mana sistem konvensional,” katanya.

Jika pinjaman perumahan dibuat, katanya, maka komoditi yang terlibat adalah rumah.

Namun, apabila ia berkaitan pembiayaan peribadi, Halim berkata, bank tidak boleh memberikan wang begitu sahaja kerana duit bukan dikategorikan sebagai barang.

Ini kerana, dalam konsep perbankan Islam, beliau berkata, teras untuk pembiayaan tetap sama iaitu memerlukan komoditi sebagai cagaran bagi mengelakkan riba.

“Disebabkan itu, konsep Tawarruq dikeluarkan oleh sarjana-sarjana dan penasihat syariah Islam itu untuk mewujudkan proses transaksi yang ada komoditi.

“Contohnya, anda mahu pinjam RM50,000 daripada bank. Berdasarkan konsep perbankan Islam, bank perlu ada komoditi untuk berurusan dengan anda dan untuk itu, pihak bank perlu beli komoditi (barang) bernilai RM50,000 dan menjualnya sebelum diberikan kepada anda,” katanya.

Komoditi zaman Rasulullah guna kurma

Pada zaman Rasulullah, Halim berkata, komoditi yang digunakan untuk pemohon yang meminjam wang daripada bank ialah buah kurma.

“Kurma ini disimpan di dalam gudang. Pemohon yang ingin membuat pinjaman daripada bank akan menerima dokumen dan membawanya ke gudang tersebut.

“Katakan dia mahu pinjam tunai RM100,000, maka dia kena ambil buah kurma bernilai RM100,000 di gudang itu dan mencari pembeli yang sanggup membeli kurma itu untuk digantikan dengan duit, kemudian barulah wang itu boleh digunakan,” katanya.

Menurutnya, tidak ramai orang tahu mengenai konsep itu walaupun sedia maklum bahawa riba itu haram dalam perbankan Islam.

“Mungkin ramai kurang ambil kisah tentang perkara ini kerana tidak tahu ada alternatif perbankan yang halal.

“Lagipun, ia diguna pakai oleh perbankan Islam saja. Jadi pelanggan tidak tahu semua proses-proses ini dan apa yang ada di belakang sistem itu. Mereka hanya tahu prosesnya sudah selesai bila berurusan dengan perbankan Islam dan menandatangani perjanjian akad,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sedania Group, Firoz Mohd Noor berkata, institusi perbankan Islam dibenarkan mengguna pakai konsep Bai' Inah.

"Konsep Bai' Inah, contohnya si A mahu pinjam RM50,000 dari saya. Katakan kita jadikan sebuah meja sebagai komoditi dengan menganggap nilainya RM50,000, ia sudah jadi akad. Si A hendak beli meja ini dan saya belikan meja ini dengan harga RM50,000 dan si A berjanji untuk membayar semula RM60,000 secara ansuran.

"Namun konsep ini menjadi isu bila ia masuk dalam konsep Tawarruq kerana Tawarruq tidak membenarkan kita menzalimi peminjam. Katakan di tengah-tengah jalan, tiba-tiba penjualnya meninggal, si A mungkin dapat meja itu, tetapi benarkah harga meja itu RM50,000?," katanya.

Firoz berkata, konsep Bai' Inah berbeza dengan Tawarruq kerana konsep Tawarruq lebih jelas transaksinya iaitu ada akad, komoditi, transaksi pembelian dan penjualan.

Sedania As Salam tawar produk As-Sidq

Dengan menggunakan konsep Tawarruq, beliau berkata, Sedania As Salam Capital menawarkan produk perbankan halal dikenali sebagai As-Sidq.

As-Sidq bertindak sebagai platform memperdagangkan kredit pelan prabayar untuk dijadikan komoditi bagi meluluskan pembiayaan seperti pinjaman peribadi dan perumahan, deposit-i serta Akaun Semasa dan Akaun Simpanan (Casa).

Firoz berkata, pemilihan kredit pelan prabayar sebagai komoditi dibuat memandangkan barang itu mempunyai harga yang tetap.

Sementara itu, kembali mengenai produk As-Sidq, Halim berkata, sebagai penyedia perkhidmatan perbankan halal, syarikat itu menyediakan kemudahan seperti penjual dan pembeli sedia ada.

“Tugas bank adalah memberikan pinjaman, tetapi pihak bank tidak boleh berurusan dengan pemohon pinjaman sekiranya dia tiada komoditi yang dipegangnya, berdasarkan konsep perbankan Islam.

“Sebab itu Sedania As Salam Capital sediakan platform penjual dan pembeli sedia ada iaitu untuk komoditi kredit pelan prabayar bagi mudahkan bank mempunyai komoditi dan menjualnya semula untuk menguruskan pembiayaan tersebut,” katanya.

Pada masa ini, beberapa institusi kewangan menggunakan produk As-Sidq antaranya RHB Islamic Banking, Affin Islamic Bank, Malaysia Building Society Berhad (MBSB), Bank Simpanan Nasional, Agrobank, Koperasi Ukhwah Malaysia Berhad dan Koperasi Bank Persatuan Malaysia Berhad.

As-Sidq juga menawarkan kemudahan akad menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) sebagai akad untuk mengesahkan pembiayaan bagi memudahkan pelanggan.

Ia turut mendapat pengiktirafan Institut Perbankan Islam dan Kewangan Malaysia (IBFIM) serta Organisasi Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI).

Catatan popular daripada blog ini

506,000 Orang Rakyat Malaysia Menganggur Pada Februari 2016

Dia

Pelan IkhlasLink Secure Takaful