Sumbangan Bukan Islam Dijangka Meningkat

Takaful Ikhlas Berhad (Takaful Ikhlas) menjangkakan sumbangan daripada pelanggan bukan Islam untuk produk takaful akan terus meningkat khususnya pada tahun depan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Latiff Abu Bakar berkata, mengikut angka yang dicatatkan industri, penembusan takaful di Malaysia di kalangan masyarakat bukan beragama Islam adalah sekitar 12 peratus.

“Angka berkenaan masih rendah jika dibandingkan dengan jumlah penduduk di negara ini namun, kami menjangkakan jumlah berkenaan terus meningkat pada masa akan datang khususnya dengan penawaran produk yang pelbagai menepati keperluan semua pelanggan,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Takaful Ikhlas dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), semalam.
Menurutnya, pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada April 2015 nanti tidak akan memberi kesan besar kepada industri takaful memandangkan produk berkenaan adalah satu keperluan.

“Sumbangan untuk takaful adalah satu keperluan dan kebanyakan individu berpendapat bahawa ia perkara yang perlu dimiliki.

“Maka, kami menjangkakan pelaksanaan GST akan memberi impak kecil kepada industri kerana produk takaful menjadi satu keperluan yang perlu dipenuhi walaupun dalam keadaan kos sara hidup meningkat,” katanya.

Pada 2012/2013, Takaful Ikhlas mencatatkan jumlah sumbangan RM747 juta dan meningkat kepada RM772 juta pada 2013/2014. Antara produk yang menjadi pilihan pelanggan bukan beragama Islam adalah takaful berkaitan pelaburan dan takaful am.

Sementara itu, MoU yang ditandatangani dengan UTAR antara lain untuk tajaan anugerah pelajar cemerlang dan berkongsi maklumat mengenai konsep takaful serta peluang keusahawanan kepada pelajar di universiti berkenaan.

Pelajar cemerlang dari Fakulti Perniagaan dan Kewangan (FBF), Fakulti Perakaunan dan Pengurusan (FAM) serta Fakulti Kejuruteraan dan Sains (FES) akan diberi peluang sumber latihan, pengagihan dan rundingan untuk memahami aspek takaful.

Malah, pelajar cemerlang setiap fakulti akan menerima wang tunai RM500 setiap sesi konvokesyen tajaan Takaful Ikhlas.

Catatan popular daripada blog ini

506,000 Orang Rakyat Malaysia Menganggur Pada Februari 2016

Dia

Pelan IkhlasLink Secure Takaful