Sepertiga Rakyat Hidap Darah Tinggi, Kerana Lebih Makan Garam

Media pernah melaporkan, seramai 4.8 juta penduduk negara ini menghidap penyakit darah tinggi dan menjelang 2025, lebih separuh rakyat berusia lebih 40 tahun berisiko menghidap penyakit itu.

Pepatah Melayu “lebih dahulu makan garam” usah diterjemahkan menjadi amalan pemakanan harian.

Ini kerana, satu per tiga daripada rakyat negara ini menghidap penyakit ‘hipertensi’ atau darah tinggi, akibat mengambil garam berlebihan, kata pakar garam yang juga Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Feisul Idzwan Mustapha.
Menurutnya, kajian Kementerian Kesihatan menunjukkan, penduduk Malaysia mengambil 8.7 gram garam sehari.

Ia adalah 1.7 kali ganda lebih tinggi daripada lima gram garam sehari yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), katanya ketika menjadi tetamu khas program ‘Ala Carte Pagi’ terbitan Bernama Radio24 di ibu negara, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyarankan penduduk Malaysia mengambil tidak lebih daripada lima gram atau satu sudu teh garam sehari, bagi mengelakkan hipertensi.

“Sekiranya rakyat Malaysia tidak mengawal pengambilan garam, penyakit hipertensi itu akan menjadi lebih serius dan boleh mengundang risiko kematian,” katanya.

Dr Feisul berkata, garam menjadi sumber utama sodium dalam kebanyakan makanan kegemaran rakyat negara ini, apabila ia dijadikan penambah perisa bagi menyedapkan makanan.

“Sebagai contoh, masyarakat sekarang lebih gemar makan di luar, berbanding memasak sendiri, jadi masakan panas bergoreng yang mengandungi kandungan garam tinggi menjadi kegemaran mereka.

“Ditambah pula lidah mereka yang terbiasa dengan makanan masin dan bergaram, apabila makanan bergoreng itu dikatakan ‘tidak cukup rasa’, mereka akan menambah kicap atau garam,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Feisul mencadangkan rakyat mengurangkan pengambilan garam, dengan menggunakan herba dan bahan perasa asli untuk menyedapkan makanan.

“Amalkan cara pemakanan sederhana yang kurang garam dan bersos, ketika makan di luar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan akan menganjurkan ‘Minggu Kesedaran Garam Sedunia’, dari 9 hingga 13 Mac ini, bagi mewujudkan kesedaran mengenai bahaya pengambilan garam secara berlebihan.

Seminar pengambilan garam itu juga akan diadakan untuk orang awam pada 12 Mac ini, bertempat di Kompleks Kementerian Kesihatan, Putrajaya dan masuk adalah percuma.

Catatan popular daripada blog ini

506,000 Orang Rakyat Malaysia Menganggur Pada Februari 2016

Dia

Pelan IkhlasLink Secure Takaful