Beri Satu Dibalas 700

PASTINYA ramai dalam kalangan kita yang pernah mengalami situasi didatangi beberapa individu yang menadah tangan untuk meminta sedekah ketika sedang menjamu selera di dataran dan kedai makan.

Berperwatakan uzur serta dipimpin oleh seorang teman, sesetengah peminta sedekah yang dilihat mempunyai penampilan yang sempurna tubuh badan itu kadang-kala membuatkan kita curiga untuk menyumbang wang walaupun hanya satu ringgit.

Walaupun ramai yang mengetahui sedekah merupakan salah satu rahsia untuk dilimpahkan rezeki, namun situasi yang sering kali dialami itu menguji keyakinan kita dalam menghulurkan bantuan kepada orang yang memerlukan itu.

Mungkin dianggap mudah bagi sesetengah individu pada waktu senang, namun memberi bantuan kepada orang lain ketika susah dianggap suatu perkara yang berat dalam keadaan kita sendiri juga memerlukan.

Begitulah cabaran dalam menghulurkan sedekah dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan selain keredaan daripada Allah SWT.

Namun, berkongsi rahsia, itulah yang diamalkan oleh beberapa individu berjaya dalam latar belakang berbeza ketika ditemui Mega, Utusan Malaysia baru-baru ini, dalam memperoleh rezeki yang tidak pernah putus walaupun dalam keadaan yang susah.

Bukan hanya teori, sebaliknya janji Allah SWT menerusi firman-Nya beri satu dibalas 100 terbukti dengan segala nikmat yang dikurniakan, bukan sahaja limpah rezeki daripada segi kewangan, malah dalam segala aspek termasuk ketengan dan kesihatan.

Bagi pemilik Galeri Chandan, Mohammad Nazli Abdul Aziz tidak menafikan, pelbagai kejadian yang dianggap ajaib berlaku kepada dirinya selepas terdetik di hati menghulurkan sedekah kepada golongan yang memerlukan.

Mengibaratkan sebagai sumber ketenangan dalam dirinya, bekas Ketua Pegawai Operasi, KLCC Property Holding Berhad itu berkata, bukan sahaja dilimpahkan dengan rezeki dalam bentuk kewangan, malah pelbagai kurniaan rezeki dalam aspek lain yang belum pernah dirasai sebelum ini.

“Menanamkan azam pada hujung tahun lalu untuk memperbanyakkan kerja-kerja kemanusiaan pada tahun ini, mulanya saya diuji dengan pelbagai ujian yang sangat berat. Ini kerana banyak masalah dalam perniagaan berlaku sehingga menyebabkan saya mengalami kesesakan kewangan.

“Dalam masa sama, saya juga perlu menggunakan wang untuk disalurkan bagi menanggung perbelanjaan beberapa pelajar di luar negara yang ditaja untuk belajar menerusi satu misi bantuan yang disertai.

“Saya sangat tertekan. Namun, pada waktu ini saya berjumpa janji Allah SWT di dalam al-Quran yang akan melipatgandakan rezeki orang yang bersedekah. Selepas menghayatinya saya hanya mampu bertawakal dan alhamdulillah, urusan saya dipermudahkan, malah saya menjadi lebih tenang menghadapi masalah,” katanya.

Selain sedekah tambahnya, solat dan doa juga merupakan amalan yang dititikberatkan dalam kehidupan harian dalam memperoleh keberkatan rezeki.

“Solat dan doa juga perlu diambil berat. Apabila berdoa, saya lebih gemar meminta kepada Allah SWT sesuatu kelebihan bukan sahaja untuk kepentingan sendiri tetapi untuk orang lain, seperti dilimpahkan rezeki bagi membolehkan untuk menyumbang lebih banyak kepada orang ramai yang memerlukan.

“Bagaimanapun, kita harus memperbetulkan niat, sedekah bukan mengharapkan sebarang ganjaran. Ini kerana kita akan tertekan jika tidak memperoleh balasan seperti yang dijangka sehingga bertindak menyalahkan-Nya,” jelasnya.

Sumbangan hasil seni

Menggunakan platform yang diceburi, Nazli berkata, dibantu oleh kakitangan galeri dan pelukis yang berminat, beliau memanfaatkan peluang itu dalam menghulurkan sumbangan daripada hasil jualan lukisan menerusi jualan amal yang dianjurkan.

“Kita sering menganjurkan pameran dan jualan amal bagi mengumpul dana untuk disumbangkan kepada golongan memerlukan yang dikenal pasti. Pelbagai jenis lukisan dan seni lain kreatif termasuk lukisan dan kaligrafi dihasilkan pada kempen tersebut.

“Sebahagian hasil yang terjual yang juga merupakan keuntungan galeri akan disumbangkan sepenuhnya untuk misi kemanusiaan, manakala sebahagian lagi untuk pelukis. Malah, kita juga menggalakkan kepada pelukis untuk turut menyumbangkan kepada golongan yang memerlukan.

“Ini menggalakkan lebih ramai pelukis untuk berkarya, dalam masa sama beramal dengan menyumbang kepada golongan yang memerlukan,” ujarnya.

Lebih memfokuskan bantuan kepada ibu tunggal dan sumbangan pendidikan, Nazli berkata, pihaknya sangat menitikberatkan dalam pemilihan bantuan iaitu dengan menyasarkan kepada individu yang benar-benar memerlukan dalam kalangan golongan yang memerlukan.

“Jika memilih untuk menyumbang kepada anak yatim contohnya, kita akan mencari bukan sekadar golongan anak yatim biasa, tetapi mereka yang mempunyai kekurangan lain dalam kalangan mereka seperti orang kurang upaya (OKU) atau menghidap penyakit.

“Malah, golongan yang dipilih itu juga adalah mereka yang tidak meminta-minta. Ini kerana dengan semangat untuk berusaha, mereka adalah lebih layak menerima,” katanya.

SEJAK ditiupkan roh ke dalam tubuh manusia, rezeki merupakan ketentuan yang telah Allah SWT catatkan dalam qada dan qadar kepada setiap makhluk selain jodoh dan juga ajal.

Pengasas Tahfiz Darul Quran Nurul Hasanah, Yusri Abd. Karim berkata, bagaimanapun rezeki merupakan rahsia yang Allah SWT sembunyikan kepada setiap hambanya supaya manusia berusaha untuk memperolehnya mengikut tahap keyakinan dan usaha masing-masing.

Beliau yang juga penulis buku Mudahnya Mendapat Rezeki berkata, selain memberikan sedekah, rezeki juga boleh diundang menerusi pelbagai ibadah lain yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT kerana ibadah merupakan kunci pembuka rezeki.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya Allah SWT berfirman, wahai anak Adam, beribadatlah sepenuhnya kepada ku, nescaya aku penuhi di dalam dada dengan kekayaan dan aku penuhi keperluanmu. Jika tidak kamu lakukan, nescaya aku penuhi tanganmu dengan kesibukan dan tidak aku penuhi keperluanmu. (Hadis Qudsi)

“Menerusi hadis ini Rasulullah SAW menjelaskan bahawa Allah SWT menjanjikan kepada orang yang beribadat sepenuhnya dengan dua ganjaran iaitu mengisi hati dengan kekayaan serta memenuhi keperluan mereka.

“Beribadah sepenuhnya yang dimaksudkan bukanlah sehingga meninggalkan pekerjaan dunia untuk melakukan ibadah setiap masa, tetapi sentiasa mengingati Allah SWt pada setiap pekerjaan yang dilakukan juga dikira ibadah.

“Hadis ini jelas membuktikan bahawa ibadah merupakan kunci kepada rezeki yang tidak disangka-sangka,” katanya.

Beliau berkata, antara ibadah yang membuka rezeki adalah termasuk berkahwin, tawakal kepada Allah SWT, mengeratkan silaturahim dan berbuat baik sesama manusia.

“Kajian yang dilakukan menunjukkan jumlah orang yang berada di bawah garis kemiskinan di Amerika Syarikat akan naik 2.6 peratus kerana tingginya kes perceraian. Di samping itu kajian yang diterbitkan dalam buku, Perubahan Kemiskinan, Perubahan Politik itu menyimpulkan wanita yang sudah menikah memiliki peluang lebih besar untuk mendapat pekerjaan untuk menambah pendapatan.

“Sementara itu, hikmah daripada perkahwinan juga secara psikologinya membuatkan pasangan lebih bersemangat dan tenang yang membuat kedua-duanya dapat hidup selain bekerja keras untuk kelangsungan keluarga,” katanya.

Namun tambahnya,sebagai manusia perlu meletakkan sepenuh keyakinan dengan ketentuan terhadap jaminan dalam memperoleh rezeki daripada Allah SWT.

“Ramai orang sering sedih dan murung kerana memikirkan rezeki, sedangkan haiwan sentiasa hidup tanpa sedikit pun bimbang terhadap rezekinya, malah tidak bimbang tentang rezeki ketika meninggalkan anak di sarang.

“Hal ini berlaku kerana krisis pegangan manusia dalam menyakini rezeki yang telah Allah SWT tetapkan sejak ditiupkan roh ke bumi lagi. Ini menggambarkan tahap keimanan dan akidah kita masih belum yakin terhadap kekuasaan dan takdir Allah SWT,” jelasnya.

MEMPEROLEH kekayaan semata-mata tidak membawa sebarang erti tanpa didatangkan dengan nikmat kebahagiaan dalam hidup.

Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Berhad, Ab. Latiff Abu Bakar menganggap, seperti elemen yang tidak dapat dipisahkan, nikmat kekayaan perlu hadir bersama kebahagiaan bagi memperoleh nikmat ketenangan sebenar di dalam hidup.

Justeru tambahnya, sedekah dan berkongsi harta kepada orang lain merupakan cara yang terbaik bagi memperoleh nikmat kehidupan tersebut menerusi anugerah keberkatan.

“Kekayaan perlu datang bersama dengan kebahagiaan. Begitu juga, kebahagiaan juga perlu selari dengan kepunyaan harta benda yang mencukupi untuk menampung keperluan harian, barulah kita dapat menikmati hidup benar-benar bahagia dan tenang.

“Tidak guna jika mempunyai harta yang melimpah ruah sedangkan hati kita tidak bahagia, sentiasa mempunyai masalah, tidak tenang dan sebagainya.

“Menerusi bersedekah inilah merupakan cara untuk kita memperoleh keberkatan. Berkat bukan sahaja dalam aspek wang ringgit, kesihatan dan kebahagiaan juga merupakan nikmat keberkatan yang perlu hadir selari bagi memperoleh ketenangan hidup,” katanya.

Meneraju Takaful IKHLAS sejak 2013, membuka peluang kepada Ab. Latiff untuk tegar menyumbang mewakili syarikatnya dengan memfokuskan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada golongan fakir dan miskin di seluruh negara di samping mengeluarkan zakat.

Lebih RM 1 juta telah diperuntukkan oleh syarikat perkhidmatan perlindungan kewangan Islam itu bagi tujuan tersebut pada tahun lalu.

Peserta yang mencarum bersama Takaful IKHLAS secara tidak langsung membantu menyumbang kepada aktiviti kebajikan yang dijalankan selain mendapat perlindungan dan perkongsian keuntungan yang ditawarkan syarikat tersebut.

Beliau turut mengakui pelbagai nikmat dan rezeki diperoleh dengan tidak disangka-sangka yang membantu mempermudahkan segala urusannya dan keluarga walaupun ketika dilanda masalah.

Pengemis buka kesedaran

Berkongsi kesedaran bersedekah, Ab Latiff berkata, melihat kejadian sekumpulan kanak-kanak yang berebut mendapatkan sisa makanan di depan mata sendiri telah memberi kesedaran kepada beliau untuk lebih galak bersedekah.

“Kejadian berlaku ketika saya bersama keluarga selesai makan dan ingin beredar daripada sebuah restoran makanan segera semasa bertugas di Indonesia. Sekumpulan kanak-kanak jalanan menyerbu untuk mendapatkan baki makanan daripada makanan anak saya yang tidak habis.

“Peristiwa itu sangat menyentuh perasaan saya betapa mereka memerlukan berbanding kita. Sejak daripada itu saya sering mengingatkan diri sendiri untuk memberikan sumbangan kepada sesiapa sahaja yang datang meminta tanpa rasa curiga walaupun hanya RM1.

“Biarlah sedekah itu akan disalah guna atau diselewengkan, anggaplah itu adalah urusan Allah SWT yang menentukan asalkan kita telah melaksanakan tanggungjawab kita untuk membantu orang yang memerlukan,” ujarnya.

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Sesungguhnya Allah melipatgandakan (pahala) bagi siapa yang Dia kehendaki dan Allah Maha Luas, lagi Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 261)

Catatan popular daripada blog ini

506,000 Orang Rakyat Malaysia Menganggur Pada Februari 2016

Dia

Pelan IkhlasLink Secure Takaful