Penggiat Kewangan Islam Perlu Besepadu

USAHA yang lebih bersepadu dalam kalangan penggiat industri bagi semua sektor kewangan Islam, diperlukan bagi  merealisasikan manfaat industri yang mendukung keadilan sosial, kesaksamaan, kemakmuran ekonomi dan keterangkuman, kata Bank Negara Malaysia.

Timbalan Gabenor, Abdul Rasheed Ghaffour berkata peserta industri tidak sepatutnya hanya memainkan peranan proaktif untuk meningkatkan kerjasama dalam industri, malah melepasi sempadan sektor.



Beliau berkata melalui kerjasama ini, penggiat industri bukan sahaja menyedari kelebihan kewangan Islam malah menggerakkan trajektori pertumbuhan industri ke peringkat kematangan seterusnya.

"Kerjasama melepasi sektor tradisional ke dalam industri yang berdaya saing, seperti peruncitan, komunikasi dan minyak dan gas, perlu didahulukan kerana ia membuka dan memanjangkan jangkauan kita untuk membentuk perikatan baharu," katanya dalam ucap tama pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur ke-13 di sini hari ini

Beliau berkata gabungan tenaga dengan industri yang lain akan membolehkan kewangan Islam memulakan proses pembelajaran yang lebih cepat, dan pada masa yang sama melengkapkan penggiat industri dengan set kemahiran baharu.

"Ini akan membolehkan objektif dan hasil perniagaan yang dimatlamatkan  dipenuhi dalam tempoh masa yang singkat," katanya.

Abdul Rasheed berkata bidang lain yang boleh memacu pertumbuhan masa depan kewangan Islam ialah pecutan inovasi oleh institusi kewangan Islam.

Beliau berkata mengambil dan melaksanakan inovasi digital membuka peluang baharu untuk peserta industri mencergaskan semula pertumbuhan produktiviti dan meningkatkan kecekapan proses.

"Teknologi pasti akan mentakrifkan semula landskap kewangan masa depan dan FinTech sedang memesatkan ruang konvensional dan mengubah tingkah laku dan keperluan pengguna," katanya.

"Teknologi pastinya akan mengubah dan memperhalusi landskap kewangan pada masa depan, katanya.

Beliau berkata kewangan Islam, yang merupakan industri yang agak muda, mempunyai peluang yang luas untuk memanfaatkan teknologi sebagai pemangkin untuk meningkatkan perniagaan dan kecekapan operasi.

Beliau berkata ini termasuk memahami potensi teknologi rantaian blok dan risiko yang berkaitan untuk membolehkan penggunaan berkesan yang menjimatkan kos dan masa.

Selain itu, beliau berkata kejayaan dalam bidang pertumbuhan utama memerlukan ketersediaan bakat dan kemahiran terkemuka dalam industri.

Di Malaysia, terdapat lebih daripada 26,000 bakat dalam industri perbankan Islam dan ekosistem infrastruktur menyeluruh diperlukan bagi menyokong pembangunan bakat ini.

"Apabila kita bergerak ke hadapan, kita memerlukan kumpulan bakat yang memiliki set kecekapan yang lebih luas, melepasi skop pengetahuan kewangan Islam untuk menyediakan daya saing tambahan kepada industri," katanya.

Beliau berkata dengan terus mendidik bakat berterusan dalam kewangan Islam dengan kepelbagaian intelek dalam bidang-bidang lain yang berkaitan seperti ekonomi, kewangan, undang-undang dan teknologi kewangan, boleh mewujudkan visi dan wadah baharu di luar sempadan tradisional.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata satu platform serantau iaitu Platform Pelaburan Infrastruktur Islam (I3P), sedang dibangunkan dan di peringkat cadangan.

Beliau berkata melalui platform dialog serantau ini, kerjasama mungkin dipupuk dalam kalangan institusi kewangan, pengawal selia dan kementerian dari ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dengan institusi dan pakar akademik pelbagai hala untuk meneroka langkah-langkah yang boleh mengembangkan pelaburan merentas sempadan oleh institusi kewangan Islam.

"Secara khususnya, potensi untuk dana pencen Islam dan Takaful untuk membiayai projek infrastruktur dalam ekonomi APEC boleh diteroka," katanya.


Sumber : Bernama

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

506,000 Orang Rakyat Malaysia Menganggur Pada Februari 2016

Dia

Pelan IkhlasLink Secure Takaful