Walaupun RM50 Tetap Menyimpan Untuk Hari Tua

"Mencarum sendiri walaupun RM50 sebulan, lebih baik daripada langsung tiada simpanan apabila tidak berdaya kelak".  

Inisiatif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menyediakan kemudahan mencarum sukarela ternyata banyak memberi kelebihan malah ada yang mengiktiraf ia 'kebajikan' terbaik bagi pekerja tanpa majikan tetap.  

Muhammad Khairi Afiq Mohd Yusof, 30, yang kini bekerja sendiri selepas tidak lagi bertugas di sebuah badan bukan kerajaan, memilih mencarum sendiri mengikut kadar kemampuannya setiap bulan.  

"Kadang-kadang saya mencarum RM100, pernah juga RM200. Ia tidak tetap tetapi saya tetap yakin bahawa ia mampu membantu saya menabung dengan kawalan baik daripada KWSP.  



"Hakikat yang tidak mampu dinafikan ialah ramai yang masih kurang sensitif dalam menyimpan wang... tanpa KWSP, apabila telah berusia kelak kita mungkin masih perlu bekerja apatah lagi jika tiada harta lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Bernama bagi mendapatkan reaksi berhubung caruman sukarela di KWSP bagi menghadapi saat persaraan kelak.  

Muhammad Khairi berkata, walaupun simpanan itu tidak mampu menampung keseluruhan kos hidup di usia persaraan namun ia sekurang-kurangnya menjadi penyumbang kewangan untuk kesihatan dan kos harian.  

"Kita mungkin telah mempunyai rumah sendiri sebelum ini dan apabila tua kelak wang simpanan ini boleh digunakan untuk perubatan tanpa menyusahkan orang lain dan mungkin kita boleh mendapatkan rawatan di hospital yang lebih baik," katanya.  

Sebelum ini, KWSP menggalakkan penyertaan caruman sukarela ini dan golongan yang layak mencarum sangat tepat dan realistik.  

Ini termasuklah orang gaji domestik yang bekerja di rumah kediaman dan digaji oleh orang perseorangan (tuan rumah berkenaan) serta pemilik tunggal atau rakan kongsi yang tidak bergaji, pekerja berpencen dan mereka yang bukan majikan atau bukan pekerja seperti yang ditetapkan di dalam Akta KWSP 1991.

Turut layak ialah pekerja warganegara Malaysia yang telah mengeluarkan kesemua simpanan mereka di bawah Skim Pengeluaran Meninggalkan Negara dan telah kembali dan bekerja semula di Malaysia.  

Pencarum boleh memilih cara pembayaran sama ada menerusi tunai, kiriman wang, cek mahupun perbankan internet dengan had bayaran minimum caruman sebanyak RM50 bagi setiap transaksi dan maksimum RM60,000 setahun berkuat kuasa Januari 2013.  

Sementara jurukamera sambilan di sebuah syarikat televisyen Mohd Zamri Ghani, 42, yang turut mencarum menerusi cara sama berkata walaupun terpaksa menggunakan 10 peratus daripada pendapatan untuk KWSP, namun faedah yang bakal diperoleh dirasakan amat berbaloi.  

Beliau berkata meskipun ada segelintir yang mendakwa KWSP mempunyai kelemahan seolah-olah menyekat kemahuan terhadap kewangan sendiri namun ia sebenarnya mampu menjamin kehidupan selesa apabila tua kelak, jika wang caruman digunakan sebaiknya.  

"Saya tetap mencarum walaupun terpaksa berjimat dalam perbelanjaan lain tetapi yakin faedahnya kita akan dapat apabila tua nanti. Duit yang dikeluarkan itu nanti boleh digunakan untuk membeli harta tetap seperti rumah atau tanah.

"Nilainya pasti akan naik dari semasa ke semasa. Saya kurang berminat dengan pelaburan seperti MLM yang dilihat seolah-olah mendapat pulangan tinggi namun risikonya tetap ada... saya tidak mahu rugi," katanya.  

Seorang pembantu rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Noradiah, 31, berkata beliau sekadar mencarum sebanyak RM50 sebulan sejak dua tahun lalu dan mengakui tindakan itu memberi kelegaan kepadanya sebelum mengharungi hari tua.    

Beliau tidak meletakkan harapan untuk menggunakan wang tersebut bagi perbelanjaan harian tetapi mahu menggunakannya untuk membeli sebuah rumah murah apabila cukup kelak.  

"Saya tahu jumlahnya tentu kecil berdasarkan RM50 sebulan tetapi saya tetap yakin, dengan pengurusan KWSP dan sehingga beberapa tahun lagi sekurang-kurangnya saya mampu membayar deposit bagi mendapatkan sebuah rumah murah," katanya.  

Beliau yang masih belum berkahwin berkata pengetahuannya terhadap simpanan KWSP sangat rendah namun tetap bersyukur kerana masih belum terlambat malah berharap mampu menambah nilai caruman dengan nilai yang lebih besar suatu hari nanti.  

"Jumlah caruman terkumpul bukan sahaja untuk saya, tetapi juga untuk membantu perubatan ibu bapa... caruman ini bukan sekadar untuk mengingat hari tua tetapi juga sebagai persediaan bagaimana untuk memperbaiki kehidupan dengan lebih baik termasuk melabur dan membeli hartanah," katanya.

Sumber - Bernama

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

506,000 Orang Rakyat Malaysia Menganggur Pada Februari 2016

Dia

Pelan IkhlasLink Secure Takaful