Ke Mana Hilangnya Duit Kita?


PARA ilmuwan Islam ada pelbagai definisi untuk keberkatan. Keberkatan berasal daripada kalimah arab `barakah’ yang membawa maksud berkembang dan bertambah. Keberkatan penting dalam kehidupan kita sehari-hari. Cara kita mengemudi sesebuah kehidupan dengan usaha yang diredhai oleh Allah akan meraih keberkatanNya.

Keberkatan bukan hanya ada pada harta dan wang ringgit, bukan juga pada jawatan dan pangkat, bukan juga pada harta semata-mata. Boleh jadi, apabila kita membuat sesuatu perbuatan yang menjemput keberkatan, ia dibalas oleh Allah kepada kita dengan berbagai cara dan bentuk - mungkin anak yang mudah dididik, suasana kerja yang harmoni dan harta yang tidak banyak tetapi mencukupi untuk perbelanjaan.


Walau bagaimanapun, sebagai contoh, jika kenderaan anda selalu rosak atau anak-anak anda berkelakuan degil, tidak bermakna yang hidup anda tidak berkat. Barangkali tuhan mahu menguji kita supaya bermuhasabah diri dan untuk berasa lebih dekat dengan-Nya.

Begitu juga dengan cara untuk kita mencapai keberkatan dalam hidup. Bukan setakat menderma dengan harta benda, tetapi banyak cara dan kaedah agar hidup kita bertambah berkat. Terdapat tiga cara untuk memperoleh keberkatan, iaitu:

Bersedekah

Bersedekah mampu memupuk jiwa menjadi lembut. Jangan terpengaruh dengan rasa kekurangan apabila bersedekah. Secara zahirnya, kita berasa dengan bersedekah akan berkurangan harta/wang yang kita sedekah namun sebaliknya keberkatan yang dari Yang Esa tidak kita ketahui. Dalam Surah Saba’, ayat ke-39, Allah telah berjanji, segala yang kita infakkan, Allah akan gantikan. Rasulullah juga pernah bersabda yang bermaksud: “Tidak akan kurang harta seorang hamba Allah itu dengan bersedekah.” Maka, bersedekahlah, jangan kita berasa kedekut untuk infak sebahagian harta kita di jalan-Nya


Sedekah yang terbaik pula adalah kepada saudara-mara kita yang terdekat yang memerlukan, kemudian baru kepada yang selainnya. Ini kerana apabila kita bersedekah kepada ahli keluarga kita, bukan sahaja pahala bersedekah kita dapat, malah pahala merapatkan silaturahim pun kita kecapi.

Bersyukur

Tuhan berfirman dalam Surah Ibrahim, ayat ke-7 yang bermaksud: “Sekiranya kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahkan nikmat-Ku kepadamu, dan jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”

Bersyukur bukan sekadar mengungkapkan kalimah syukur dan Alhamdulillah, tetapi perlu dibuktikan dengan menggunakan nikmat yang diberi untuk mentaati tuhan.

Antara contohnya, nikmat gaji dan elaun yang diterima digunakan untuk memberi nafkah kepada tanggungan dan bukan untuk berfoya-foya. Nikmat diberikan mulut digunakan untuk menyebarkan senyuman dan salam, bukan untuk mengeji.

Percayalah, apabila nikmat yang diberi tuhan itu kita guna untuk mentaatinya kembali, pastinya tuhan akan memberkati hidup kita.

Memastikan harta daripada sumber yang halal

Harta yang kita peroleh, pastikan datang dari sumber yang halal. Gaji daripada pekerjaan yang tidak terlibat dalam sektor ekonomi yang tidak patuh syariah seperti perjudian, arak dan perbankan riba. Pastikan ia bersih daripada cuti sakit palsu, kerja tidak cukup masa dan elaun tuntutan yang tidak benar.

Harta seperti rumah dan kenderaan yang kita beli melalui pinjaman bank juga harus kita teliti semula. Pastikan ia bukan pinjaman daripada bank konvensional, tetapi pembiayaan dari perbankan Islam. Dari segi matematik/pengiraannya boleh jadi sama, tapi ternyata berbeza dari sudut kontrak itu sendiri.

Dalam surah al-Baqarah, Tuhan telah menempelak golongan yang mengatakan jual beli itu seperti riba walhal jual beli itu halal dan riba itu haram.

Begitu juga dengan insurans yang ingin kita miliki. Pastikan apabila kita didekati oleh ejen insurans, mintalah insurans Islamik atau yang dipanggil sebagai takaful. Ketika memperbaharui insurans kereta juga, pilihlah takaful. Kini, Malaysia ada pelbagai syarikat takaful yang boleh kita sertai sama ada dalam takaful keluarga mahupun takaful am.

Di samping itu, apabila cukup syarat-syaratnya, keluarkanlah zakat. Nescaya, hidup berkat, harta dan pahala meningkat.

Akhir sekali, kita perlu ingat bahawa setiap amalan itu tidak akan diterima melainkan padanya terdapat minimum dua perkara, iaitu ikhlas kerana Allah swt dan juga amalannya itu dinilai baik berdasarkan neraca hukum Islam.

Pilihan di tangan kita, untuk mahu merebut keberkatan atau sebaliknya. Carilah keberkatan, kerana tanpa keberkatan kita bagaikan minum dari seluruh air di lautan; namun tetap tidak dapat menghilangkan kehausan. Begitulah bidalan bagi rezeki yang tiada memperoleh keberkatan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

506,000 Orang Rakyat Malaysia Menganggur Pada Februari 2016

Dia

Pelan IkhlasLink Secure Takaful